PIHAK berkuasa sedang menggiatkan usaha mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang besar di Bandar Baru Uda dekat Tampoi, Johor pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian itu berlaku pukul 3.51 petang.
"Budak lelaki itu bermain berhampiran longkang bersama dua rakannya berusia tujuh dan lapan tahun apabila dilaporkan tergelincir ke dalam air.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Ibu kami baru meninggal, kini dia juga pergi di bulan sama' — Abang mangsa
BACA LAGI: Empat suspek gagal pecah rumah di Kluang, lelaki maut cuba lolos diri dari polis
"Dia kali terakhir dilihat dibawa arus menuju ke kawasan saluran yang lebih besar berhampiran pasar raya Warda Mart," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, pasukan kecemasan termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah melancarkan operasi mencari bersama sejak Jumaat.
"Pos arahan telah ditubuhkan di tempat kejadian untuk menyelaraskan usaha yang meliputi kawasan longkang dan sungai berhampiran,” katanya.
Kes itu dikendalikan di bawah laporan orang hilang dan polis menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu dalam pencarian.
Susulan kejadian itu, Balveer menggesa ibu bapa supaya memantau keberadaan anak-anak mereka, terutamanya semasa musim tengkujuh, dan menjauhkan mereka daripada kawasan berbahaya seperti sungai dan longkang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram