[VIDEO] 'Ibu kami baru meninggal, kini dia juga pergi di bulan sama' — Abang mangsa


  • Massa
  • Sabtu, 16 Nov 2024

Mohamad Khairul Hakim (gambar kecil) antara mangsa yang maut dalam kejadian tragedi kepala air di Sungai Jahang dekat Gopeng, Perak pada Jumaat. — Gambar Orang Awam/JKR

ABANG kepada mangsa tragedi kepala air di Sungai Jahang dekat Gopeng, Perak pada Jumaat tidak menyangka panggilan telefon bertanyakan khabar keluarga merupakan perbualan terakhir sebelum adiknya ditemui meninggal.

Menurut Muhammad Nasri Hamidi, 51, dia tidak berjumpa dengan adik bongsunya itu sejak dua bulan yang lalu.

"Adik saya, Mohamad Khairul Hakim, 37, merupakan Penolong Jurutera Kanan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Langkawi, Kedah.

BACA LAGI: [VIDEO] Tragedi 'water rafting' ragut nyawa staf JKR, penduduk di Sg Kampar dakwa takut kepala air, tak berani turun sungai

BACA LAGI: Tragedi ragut 3 nyawa staf JKR, aktiviti rekreasi dan sukan air di Kampar digantung serta-merta

"Sebelum kejadian, dia sempat memaklumkan mengenai penyertaannya dalam aktiviti melibatkan agensinya itu pada Khamis.

"Dia kata hendak keluar ke Ipoh atas urusan kerja selama tiga hari dan saya minta dia berhati-hati sepanjang perjalanan.

"Perbualan kami panjang kerana bertanyakan khabar keluarga terutama tiga anaknya, hal-hal keluarga dan sebagainya, tidak sangka itu perbualan terakhir kami," katanya ketika ditemui wartawan di pekarangan Unit Forensik, Hospital Kampar pada Sabtu.

3020195

Arus deras di sungai berkenaan menyebabkan ketiga-tiga mangsa hanyut beberapa kilometer ketika menyertai aktiviti 'water rafting'.

Mohamad Khairul Hakim antara tiga kakitangan JKR yang ditemukan meninggal dunia akibat dihanyutkan kepala air ketika menjalani aktiviti rakit arus deras di Sungai Jahang dekat Gopeng.

Kejadian itu turut mengorbankan Jurutera Daerah JKR Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, Suhaili Mat Saad, 47, dan Pegawai Khidmat Pelanggan, JKR Daerah Langkawi, Muhammad Ikram Abdul Bari, 29.

Muhammad Nasri turut meluahkan rasa pilu mengenangkan tiga anak saudaranya berusia antara enam hingga 12 tahun kehilangan ayah yang paling rapat.

"Anaknya dua perempuan dan seorang lelaki masih kecil dan sangat manja dengan arwah dan selalu membantu dalam menguruskan anak-anak termasuk makan dan tidur, jika isterinya kerja malam.

"Kami juga kehilangan adik yang sangat baik, banyak membantu keluarga termasuk menjaga ibu kami. Bulan November, mak meninggal kini adik pula ikut pergi bulan sama," katanya.

Jenazah Mohamad Khairul Hakim akan dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Bukit, Pokok Sena, Kedah untuk dikebumikan.

Terdahulu, media melaporkan kejadian itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang berterusan sehingga menyebabkan paras air Sungai Jahang naik mendadak mengakibatkan sebuah bot dinaiki enam penumpang dan seorang pemandu terbalik. — The Star/N. Trisha

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram