Tragedi ragut 3 nyawa staf JKR, aktiviti rekreasi dan sukan air di Kampar digantung serta-merta


  • Primer
  • Sabtu, 16 Nov 2024

Mayat seorang daripada mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

SEMUA aktiviti rekreasi dan sukan air luar membabitkan sungai di daerah Kampar digantung berkuat kuasa serta-merta berikutan tragedi kepala air di Sungai Jahang, Gopeng, Perak yang meragut tiga nyawa pada Jumaat.

Pegawai daerah Nazrul Fahmi Mohamad mengesahkan bahawa penggantungan itu termasuk aktiviti arung jeram dan tiub air.

BACA LAGI: [VIDEO] Tragedi 'water rafting' ragut nyawa staf JKR, penduduk di Sg Kampar dakwa takut kepala air, tak berani turun sungai

BACA LAGI: Perkelahan bersama keluarga bertukar tragedi, wanita hanyut dibawa kepala air di Sungai Sedim ditemukan lemas

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kampar memutuskan semua aktiviti rekreasi dan luar dihentikan sehingga diberitahu kelak daripada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta.

“Aktiviti akan dihentikan buat sementara waktu berkuat kuasa serta-merta.

"Kami menasihatkan orang ramai, serta penganjur, supaya berhati-hati semasa aktiviti air dan sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca sebelum meneruskan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

water

Arus deras di sungai berkenaan menyebabkan ketiga-tiga mangsa hanyut beberapa kilometer ketika menyertai aktiviti 'water rafting'.

Memetik laporan Bernama, tiga pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) lemas ketika menyertai aktiviti arung jeram di Sungai Jahang pada Jumaat.

Mangsa dikenali sebagai Suhaili Mat Saad, 47, seorang jurutera daerah di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang; Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, penolong jurutera kanan di Langkawi JKR, Kedah; dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, pegawai perkhidmatan pelanggan di JKR Langkawi.

Insiden itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang berterusan menyebabkan paras air Sungai Jahang naik secara tiba-tiba mengakibatkan sebuah bot dinaiki enam penumpang dan seorang pemandu terbalik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram