TIGA individu dilaporkan meninggal dunia setelah lemas ketika terlibat dalam aktiviti berakit sekitar Sungai Kampar, Ipoh, Perak pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu pada pukul 5.56 petang Jumaat.
"Kesemua mangsa merupakan sebahagian daripada 22 peserta dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Tengah, Penang dan Langkawi yang mengambil bahagian dalam aktiviti 'team building' berserta enam pemandu pelancong.
BACA LAGI: Lelaki diserang sawan ditemui lemas tersembam masuk tong air di Kota Bharu
"Mereka turun ke kawasan sungai pada kira-kira pukul 3.30 petang. Setibanya kami di lokasi kejadian, tiga mangsa disahkan lemas dan dibawa ke tebing sungai oleh orang ramai," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, laluan berakit ditetapkan adalah sejauh enam kilometer dan kesemua mangsa dihanyutkan sejauh empat kilometer.
"Dua mangsa yang merupakan seorang lelaki dan seorang perempuan berjaya dibawa ke tebing berhampiran Kampung Pintu Padang dan disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan.
"Mangsa ketiga yang merupakan seorang lagi peserta lelaki dinaikkan di sebuah lagi tapak perkhemahan dan turut disahkan meninggal dunia," katanya.
Anggota bomba cuba menyelamatkan kesemua mangsa hanyut.
Dalam kenyataan berbeza, Sayani berkata, berdasarkan rekod terdahulu, terdapat dua insiden lemas melibatkan peserta berakit di Sungai Kampar, iaitu pada 2019 sebelum terjadi sekali lagi dua tahun kemudian dengan kedua-duanya melibatkan seorang mangsa.
Perkara itu turut disedari penduduk sekitar kawasan tersebut yang mendakwa insiden lama membuatkan mereka gerun untuk turun ke sungai, lebih-lebih lagi ketika cuaca tidak menentu.
"Petang tadi (Jumaat) memang hujan lebat, air sungai memang deras. Pertemuan air dari tiga batang sungai besar sekitar kampung saya, tetapi selalu juga nampak ada yang turun berakit ketika air pasang besar.
"Kami penduduk di situ pun takut dan tidak berani untuk mendekati tebing sungai, apatah lagi di titik pertemuan ketiga-tiga sungai tersebut. Berhati-hatilah," dakwa Jessy Eto. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram