Atasi 32 peserta lain, wanita Melaka usia 41 tahun dinobat pelatih terbaik kursus bomba paling sukar


Saredah Mohd Salleh berusia 41 tahun dengan sijil menamatkan kursus latihan asas Storm. — Akademi Bomba

ANGGOTA bomba wanita berusia 41 tahun dinobatkan sebagai pelatih terbaik pada Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Siri 1/2024 pada Rabu.

Wanita itu, Saredah Mohd Salleh yang kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 14, Putrajaya meraih pengiktirafan berkenaan selepas mengatasi 32 peserta lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Saredah berkata, minat yang mendalam terhadap tugas lasak mendorong beliau menyertai kursus Storm, iaitu unit elit dan paling sukar dalam JBPM.

BACA LAGI: [VIDEO] Buku teks Sejarah dijadikan komik, Azrin Ahmad bijak tarik minat pelajar dapat 'result' cemerlang

BACA LAGI: Pernah hampir lemas, jurufoto wanita bertahun-tahun elak laut angkara fobia sebelum kembali mencipta nama

6129798374942163500

Majlis Tamat Latihan Kursus Storm pada Rabu. — Akademi Bomba

Ibu kepada dua anak itu berkata, beliau tetap cekal menghabiskan latihan demi mencapai cita-citanya meskipun terpaksa mengharungi latihan berat dan mencabar selama sebulan.

"Usia tidak pernah menjadi halangan kerana saya memang meminati pekerjaan lasak. Matlamat saya menyertai kursus ini adalah untuk berkhidmat dalam operasi bencana yang mencabar dan juga misi kemanusiaan di luar negara.

"Latihan paling sukar ialah jalan lasak sejauh 18 kilometer dengan membawa beban seberat 70 kilogram. Saya mengambil masa lebih tiga jam untuk menghabiskan ujian itu,” katanya di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai.

Wanita yang berasal Melaka itu berkata, beliau bernasib baik kerana mendapat sokongan dan galakan daripada suaminya yang juga bertugas sebagai anggota bomba di BBP Kajang, Selangor.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Nordin Pauz menyatakan bahawa terdapat hanya sembilan ahli Storm wanita di Malaysia dan mereka yang terpilih telah menjalani latihan fizikal dan mental yang ketat.

"Kami mempunyai 594 anggota Storm di seluruh Malaysia setakat ini. Justeru, saya amat menggalakkan lebih ramai anggota dan pegawai menyertai kursus ini bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bomba," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram