SEORANG wanita ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras akibat kepala air di Sungai Sedim dekat Kulim, Kedah pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, mangsa ditemui orang awam bersama anggota bomba sewaktu pencarian di sepanjang tebing sungai itu pada pukul 5.50 petang tadi.
"Mangsa, A Kasthuri, 41, ditemui di kawasan Lubuk Buluh iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
BACA LAGI: Warga emas nyanyuk tak sedar anak sudah meninggal 5 hari sehingga polis datang di Tanah Merah
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, media melaporkan, seorang wanita dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras dipercayai kepala air di Taman Eco Rimba, Sungai Sedim.
Mangsa dipercayai bersama keluarga sedang berkelah dan riadah sempena cuti Deepavali sebelum secara tiba-tiba muncul kepala air dan mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.
Untuk rekod, insiden malang tersebut merupakan kejadian kedua yang berlaku dalam tempoh kurang dari sebulan membabitkan kejadian arus deras akibat kepala air di Sungai Sedim.
Dalam kejadian 13 Oktober lalu, seorang lelaki berusia 31 tahun yang sedang berkelah bersama beberapa rakannya dihanyutkan air deras sebelum ditemui lemas kira-kira dua hari kemudian.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram