KESELAMATAN di tempat kerja adalah aspek penting untuk melindungi kesejahteraan pekerja dan memastikan kelancaran operasi.
Di Malaysia sama ada sektor kerajaan mahupun swasta berusaha memperkukuh amalan keselamatan untuk mengelakkan kemalangan dan kecederaan.
Sektor peruncitan dan perkhidmatan misalnya mengambil langkah inovatif dalam memperkenalkan inisiatif keselamatan yang melibatkan semua pekerja.
BACA LAGI:Tiga puncak baharu dibuka di Gunung Kinabalu, Kartina hasilkan 5 lagi aplikasi 'rahsia'
Hal itu adalah bagi memperkasa budaya keselamatan di tempat kerja yang merupakan kunci untuk kemakmuran negara dan pembangunan ekonomi yang mampan.
Baru-baru ini, Lotus Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah dinobatkan sebagai pemenang anugerah dalam kategori keselamatan dan kesihatan borong dan runcit di satu majlis anugerah yang diadakan di Kuala Lumpur.
Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2023 tersebut mengiktiraf usaha cemerlang dalam memperkenalkan inisiatif keselamatan yang inovatif di tempat kerja.
Nur Diana Ajis, Pengurus Besar Stor di Lotus Bandar Puteri Jaya, yang mewakili syarikat tersebut, berkongsi perasaan gembira dan terkejut selepas mendapat tahu mengenai kemenangan itu.
“Memang saya tidak sangka langsung menang dan ini adalah kali pertama cawangan kami menyertai anugerah sebegini.
"Kami hanya mendapat tahu apabila pihak penganjur memberitahu bahawa Lotus Bandar Puteri Jaya terpilih untuk menerima anugerah ini dan ia sangat bermakna bagi kami,” katanya kepada Majoriti.
Nur Diana tidak menyangka cawangannya memenangi anugerah sebegitu kerana itu adalah merupakan pertama kali.
Menurutnya, sebagai sebahagian daripada usaha keselamatan, Lotus cawangan itu memperkenalkan beberapa inisiatif baru yang melibatkan staf secara langsung.
Salah satu langkah yang dianggap kelainan oleh pihak Lotus Bandar Puteri Jaya adalah video keselamatan yang dihasilkan oleh Nur Diana sendiri.
"Dalam video demonstrasi, staf-staf di cawangan kami bertindak sebagai pelakon untuk menunjukkan contoh tindakan yang betul dan salah dalam penggunaan peralatan stor seperti roller cage, pallet, dan hand jack.
"Video ini kemudiannya ditayangkan secara berterusan di stor bagi mengingatkan staf tentang kepentingan keselamatan.
“Saya mencipta video ini sendiri dan melibatkan staf untuk memerankan situasi yang menunjukkan tindakan keselamatan yang betul.
"Setiap hari, video ini ditayangkan di TV stor yang disediakan khusus untuk mengingatkan staf tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi,” jelas Nur Diana.
Anugerah keselamatan itu memberi pengiktirafan kepada usaha dan komitmen syarikat dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat.
Selain itu, antara langkah keselamtan lain yang diterapkan Nur Diana adalah memberikan latihan keselamatan yang betul dan baik kepada semua staf.
Katanya, latihan tersebut merangkumi penggunaan alat keselamatan seperti sarung tangan dan apron di kawasan yang melibatkan peralatan tajam serta langkah-langkah keselamatan di bahagian bakery dan produce.
Keselamatan tempat kerja di Lotus Bandar Puteri Jaya juga melibatkan penyediaan peralatan pembersihan seperti penyapu dan mop di setiap sudut stor bagi memastikan kebersihan terjaga.
Dengan lebih 15 tahun pengalaman dalam industri runcit, Nur Diana berkongsi kejayaan itu bukan hanya miliknya, tetapi juga hasil usaha seluruh pasukan di Lotus Bandar Puteri Jaya.
Dia menegaskan bahawa kemenangan itu memberi mereka lebih semangat untuk terus mempertingkatkan amalan keselamatan di tempat kerja dan berharap lebih banyak cawangan Lotus di seluruh negara akan mengambil peluang untuk mencipta inisiatif keselamatan yang serupa.
"Saya berharap kemenangan ini dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak cawangan Lotus di luar sana untuk turut serta dalam inisiatif keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
"Kami mempunyai lebih 60 cawangan di seluruh Malaysia dan saya percaya banyak lagi yang boleh terlibat dalam program sebegini pada masa hadapan," tambah Nur Diana.
Anugerah keselamatan itu memberi pengiktirafan kepada usaha dan komitmen syarikat dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk semua pekerjanya.
Nur Diana berharap kejayaan itu dapat menjadi model kepada cawangan-cawangan lain untuk terus menambahbaik amalan keselamatan di setiap lokasi.
Dia turut menghadiri Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2023 pada Selasa lalu bagi kategori borong dan runcit di Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram