MENTERI Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad memberi jaminan pengenalan petrol Euro 5 pada September tahun depan tidak akan membawa kepada kenaikan harga bahan api.
Beliau berkata, pelaksanaan pengenalan bahan api itu memerlukan pelaburan daripada syarikat minyak, kerana ia merupakan langkah berterusan untuk menaik taraf spesifikasi bahan api, selain mengekalkan kualiti udara negara.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
“Harga bahan api bagaimanapun akan dipengaruhi oleh sistem yang dirancang kerajaan, termasuk subsidi disasarkan untuk petrol RON95 yang ditetapkan pada pertengahan 2025.
"Fokus utama ini bertujuan mengawal pelepasan karbon dan meningkatkan kualiti bahan api. Dari segi harga bahan api, tiada kaitan langsung antara harga petrol dan peralihan ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Beverly Group, Samjung Tech dan Parktech Solutions, di Kuala Lumpur pada Khamis.
Nik Nazmi menambah, penambahbaikan kualiti bahan api adalah proses berterusan sama seperti pelaksanaan diesel Euro 5 sebelum ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pada Rabu, Nik Nazmi mengumumkan Malaysia akan mula menjalankan penggunaan petrol Euro 5 pada September tahun depan dengan pelaksanaan penuh dijangka menjelang 2027.
Langkah tersebut adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk menjaga kualiti udara negara.
Dalam perkembangan berasingan, beliau menegaskan Malaysia tidak boleh menolak penggunaan bahan unsur nadir bumi, khususnya untuk kenderaan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pengurusannya mesti dilakukan dengan teliti dan bertanggungjawab.
"Melihat nadir bumi di negara kita setakat ini, tiada unsur radioaktif. Kebimbangan awal adalah mengenai Lynas, tetapi ia dikawal rapi melalui lesen dikeluarkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB)," katanya.
Mengenai peralihan kepada kenderaan elektrik dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, Nik Nazmi mengakui keperluan terhadap nadir pun untuk memastikan perkara tersebut.
Namun, beliau mengulangi bahawa penggunaannya harus seimbang dan dikawal ketat dengan teliti.
"Walaupun saya bersetuju ada kesan sampingan, saya tidak menyokong mengelak sepenuhnya penggunaan bahan-bahan ini," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram