Kerajaan rangka mekanisme elak penyasaran RON95 jadi punca kenaikan harga barang mendadak


  • Primer
  • Selasa, 12 Nov 2024

Tiada kaedah sempurna untuk melaksanakan subsidi bahan api. — The Star/AZHAR MAHFOF

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli mengakui tiada kaedah sempurna untuk menguruskan penyasaran subsidi bahan api, termasuk RON95.

Menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat pada Selasa, Rafizi berkata, kerajaan memilih pendekatan paling sesuai bagi memastikan tiada kesan lain yang berlaku seperti kenaikan harga barang dan inflasi.

Rafizi berkata, mana-mana kaedah yang diambil akan mempunyai risiko tersendiri baik ketika pelaksanaan di stesen minyak atau berlaku peningkatan kos.

BACA LAGI: KPM guna sistem peperiksaan berbeza, tiada rancangan perkenal semula UPSR, PT3 — Fadhlina

BACA LAGI: Tindakan tegas terhadap pengetua, institusi MARA jika cuba sorok isu buli — Asyraf Wajdi

"Tak ada satu kaedah sempurna kerana mana-mana kaedah sekalipun akan menyebabkan sedikit risiko dan masalah dari segi operasi, penipuan dan kos. Namun paling utama kerajaan meletakkan keutamaan kepada usaha mengawal harga barang dan inflasi kerana itu lebih utama.

"Walaupun kita maklum pelaksanaannya kelak akan ada risiko, namun ini boleh diperbaiki dari semasa ke semasa, berbanding (kaedah yang akan menyebabkan) inflasi naik mendadak dan menurunkan harga barang, ini akan lebih membebankan," ujar Rafizi ketika menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Kulai).

Pada masa sama, Rafizi memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan dalam proses menimbang pelaksanaan dua peringkat harga untuk RON95.

Rafizi turut berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dilihat paling baik dengan menggunakan bayaran terus secara tunai kepada golongan sasar, tetapi cara itu masih ada kelemahannya.

"Rata-rata ahli ekonomi menyatakan bahawa bayaran tunai adalah lebih baik kerana tidak membabitkan operasi di stesen minyak, namun kerajaan melihat risiko kenaikan harga barang. Kita sedia maklum apabila naik sahaja harga minyak, ia akan menyebabkan kenaikan inflasi.

"Atas pertimbangan itu, walaupun kita sedia maklum pelaksanaan harga dua peringkat ada risikonya di stesen minyak, namun ia sesuatu yang boleh diperbaiki berbanding contohnya ia (kaedah lain) dilaksanakan, namun menyebabkan inflasi naik mendadak kerana untuk menurunkan harga barang itu lebih susah," ulas Rafizi. — The Star/TARRENCE TAN/RAGANANTHINI VETHASALAM/BENJAMIN LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram