PERSELISIHAN faham mungkin menjadi motif di sebalik pembunuhan seorang wanita yang mayatnya disimpan dalam peti sejuk selama tiga tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengesahkan bahawa pihak polis masih menyiasat insiden mengerikan itu untuk mengenal pasti punca kejadian tersebut.
"Suspek lelaki berusia 53 tahun itu mendakwa pelbagai perkara, termasuk bahawa dia adalah anak kepada mangsa," katanya dalam sidang media pada Rabu (13 November).
BACA LAGI: [VIDEO] Angkara tumbuk muka pengadil, bekas presiden kelab Turkiye kena penjara lebih 3 tahun
BACA LAGI: [VIDEO] 'Format dah tak menarik', belum mula tapi fans umum JDT juara Piala Malaysia 2024
"Bagaimanapun, kami sedang menyiasat dan akan memeriksa cap jari serta DNA suspek bagi mengesahkan dakwaannya. Motif pembunuhan juga masih dalam siasatan," tambahnya.
Menurut Rusdi, bedah siasat dijadualkan dijalankan pada Rabu untuk mengetahui punca kematian.
"Mayat tersebut telah disimpan dalam peti sejuk untuk jangka masa yang lama iaitu sejak 2021," jelas beliau.
Suspek kini direman sehingga Selasa depan (19 November) untuk membantu siasatan lanjut.
"Suspek tidak mempunyai rekod jenayah. Kami juga masih menunggu laporan perubatan untuk menentukan jenis penyakit yang dialaminya," kata Rusdi.
Tambah beliau, tiada laporan yang pernah dibuat mengenai kehilangan mangsa sebelum ini.
Penemuan mengejutkan ini berlaku pada Selasa (12 November), selepas pihak polis memeriksa sebuah rumah dua tingkat di Taman OUG, Kuala Lumpur.
Difahamkan, suspek telah menghubungi polis dan memberitahu bahawa dia tidak sihat dan mengakui telah menyimpan mayat ibunya dalam peti sejuk.
Menurut sumber, suspek menghadapi masalah kewangan dan juga menghidap penyakit kronik.
Kes itu kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh. Mayat tersebut telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram