SISTEM tiket yang diperbaharui, pencahayaan yang lebih baik, cat baharu di Terminal 1 meningkatkan keselamatan dan memacu pertumbuhan sosio-ekonomi bandar.
Terminal Bas Seremban yang telah diubah suai dan lebih dikenali sebagai Terminal 1 berpotensi mencetuskan pertumbuhan sosio-ekonomi di pusat bandar Seremban.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Perumahan dan Pengangkutan Kerajaan Tempatan, J. Arul Kumar berkata, kerja menaik taraf depoh bas yang dibina pada 1995 itu kini mencapai 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac depan.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
“Kerja-kerja naik taraf itu melibatkan pengecatan bahagian luar dan dalam bangunan serta kerja pemasangan lampu bagi menerangi kawasan tempat letak kereta bertingkat yang dahulunya suram.
“Dengan kemudahan yang lebih moden dan mesra pengguna, Terminal 1 akan berfungsi sebagai hab pengangkutan utama untuk memudahkan pergerakan dan perjalanan penduduk setempat.
“Ia juga berpotensi menarik pelancong di samping memberi imej baharu kepada pusat bandar ini,” ujarnya.
Beliau berkata, terminal itu akan dilengkapi dengan ruang menunggu berhawa dingin, susunan gerai yang lebih teratur, tandas yang lebih bersih serta sistem keberangkatan dan ketibaan bas yang lebih efisien.
Menurutnya, sistem tiket berpusat juga telah dilaksanakan di Terminal 1.
Ini merupakan penambahbaikan kerana sebelum ini tiket bas hanya boleh dibeli di kaunter tiket depot.
Beliau berharap penambahbaikan tersebut akan memberikan pengalaman perjalanan yang lebih selesa buat para penumpang.
Sementara itu, Penyelaras Trafik Bas Ekspres Terminal 1, Kamarul Salim, 60, berkata, beliau bersyukur dengan kerja-kerja naik taraf yang sedang dijalankan.
Beliau yakin bahawa ia akan memberi keselesaan dan kemudahan bukan sahaja kepada penumpang, tetapi juga kepada peniaga di terminal tersebut.
Kamarul, yang bekerja di depot itu sejak 2015 menyifatkan penambahbaikan itu amat relevan memandangkan ramai orang terutamanya mereka yang berulang-alik ke Selangor dan Kuala Lumpur masih menggunakan pengangkutan awam setiap hari.
“Tempat ini sesak seawal 5 pagi dan pada waktu petang, malah pada hujung minggu ia dibanjiri penumpang.
“Apabila terminal ini dinaik taraf, ia akan menawarkan keselesaan dan susunan gerai yang lebih teratur untuk orang ramai,” katanya.
Rozaini Ahmad, 65, yang telah mengusahakan gerai makan di depot itu selama lebih 10 tahun berkata, naik taraf itu akan membantu merancakkan perniagaannya.
Rozaini amat teruja dengan penambahbaikan tandas dan tempat letak kereta bertingkat yang kini lebih selamat dan selesa.
“Tandas dan bangunan tempat letak kereta agak suram dan berbahaya.
“Sekarang terang benderang. Ini sangat penting kerana peniaga tiba seawal 4 pagi dan tutup kedai pada 9.30 malam,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram