SEORANG remaja maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon pintarnya menggunakan soket di dalam sebuah ekspres di Terminal Bas Penang Sentral dekat Butterworth, Pulau Pinang pada Jumaat.
Dalam kejadian malang pukul 6 petang itu, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, menaiki bas berkenaan ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman, kejadian tersebut disedari penumpang lain sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis oleh pemandu bas berusia 36 tahun pada pukul 7.40 malam.
BACA LAGI : [VIDEO] Keris makan tuan, lelaki Bugis hilang nyawa tertusuk senjata ketika upacara sambut pengantin
BACA LAGI : Warga emas nyanyuk tak sedar anak sudah meninggal 5 hari sehingga polis datang di Tanah Merah
"Hasil pemeriksaan polis terhadap tubuh mangsa di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan melecur di jari kirinya disyaki akibat renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit berpandukan keadaan penghujung kabel cair serta peranti terbabit turut berada dalam keadaan panas.
"Temu bual terhadap pemandu bas itu mendakwa mangsa menaiki bas ekspres untuk ke KL Sentral pada pukul 6 petang namun 10 minit kemudian, seorang penumpang memaklumkan kepada pemandu bahawa mangsa menjerit sebelum ditemui dalam keadaan mulut berbuih.
“Pemandu kemudian menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan awal namun pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, pegawai perubatan Hospital Seberang Jaya (HSJ) telah mengesahkan punca kematian mangsa adalah renjatan elektrik dan tiada kecederaan lain.
"Siasatan lanjut di lokasi mendapati, tiada unsur jenayah ditemui dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh syarikat bas berkenaan berhubung insiden terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram