Pekerja kontraktor TNB maut dirempuh pemandu mabuk tiada lesen di Melaka


  • 112
  • Selasa, 12 Nov 2024

Motosikal yang ditunggang Syairazi musnah dilanggar pemandu mabuk di Melaka.

SEORANG pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas dilanggar oleh pemandu mabuk di Masjid Tanah, Melaka pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pekerja kontraktor TNB yang dikenali sebagai Muhammad Syairazi Rahmat, 24, maut selepas dilanggar sewaktu menunggang motosikalnya.

Mangsa yang dalam perjalanan dari Masjid Tanah menuju Kuala Sungai Baru telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah bertentangan.

BACA LAGI: SPRM teliti, siasat aliran tunai diterima pasangan pengasas FashionValet

BACA LAGI: Bapa, anak 6 tahun dalam perjalanan ke tabika maut kemalangan di Kuala Berang

Syairazi dilaporkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta itu memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa secara berhadapan.

"Perlanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh kakitangan perubatan dan mayatnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

"Pemandu kereta turut mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut," kata Ashari dalam kenyataannya.

Dalam pada itu, siasatan turut mendapati pemandu yang berusia 34 tahun itu didapati tidak mempunyai lesen serta berada di bawah pengaruh alkohol ketika membawa kereta.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mengesan saksi bebas.

"Semua kenderaan terbabit dibawa ke Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) untuk pemeriksaan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram