SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi membuat pemeriksaan ke atas beberapa premis termasuk kediaman milik pasangan pengasas platform e-dagang, FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Datin Vivy Yusof and Datuk Fadzaruddin Shah Anuar di sekitar Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pemeriksaan itu bertujuan mendapatkan dokumen dan eksibit berkaitan serta maklumat aset dimiliki pasangan berkenaan bagi membantu siasatan.
BACA LAGI: SPRM sudah mula siasat kerugian RM43.9 juta pelaburan FashionValet
BACA LAGI: Khazanah, PNB beri penjelasan penjualan saham FashionValet
Pasangan suami isteri berkenaan hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan berhubung laporan kerugian pelaburan dana Khazanah dan PNB berjumlah RM43.9 juta.
"Pegawai saya mengikuti mereka pergi ke rumah mereka dan mana-mana premis berkaitan untuk buat siasatan lanjut.
"Pegawai saya dalam proses buat siasatan terhadap premis dimiliki dua pasangan berkenaan untuk tujuan siasatan lanjut seperti ambil dokumen dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sementara itu, SPRM memaklumkan pihaknya menyita barang pasangan tersebut termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Malah, SPRM membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pasangan terbabit dengan nilai kira-kira RM1.1 juta.
Pembekuan berkenaan adalah susulan daripada siasatan yang dijalankan suruhanjaya ini terhadap suami isteri terbabit berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Menurut sumber, bermula Isnin lalu, SPRM secara serentak menyerbu FashionValet, Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.
Terdahulu, pasangan suami isteri berkenaan hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 12.54 tengah hari untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan berhubung laporan kerugian pelaburan dana Khazanah dan PNB berjumlah RM43.9 juta.
Selepas hampir tiga jam, kenderaan yang membawa pasangan itu dilihat meninggalkan pekarangan ibu pejabat SPRM pada pukul 4.23 petang dengan pegawai yang memakai jaket SPRM turut dilihat berada dalam kenderaan berkenaan.
Menurut Azam, siasatan kes masih di peringkat awal dan pada Selasa serta Rabu merupakan proses merekod keterangan pasangan itu yang diteruskan dengan pemeriksaan dokumen dan aset.
Beliau turut mengesahkan SPRM telah mengambil keterangan daripada tiga lagi individu bagi membantu siasatan kes berkenaan namun tidak memberikan perincian lanjut.
"Setakat ini ada tambahan tiga kenyataan (keterangan) menjadikan sembilan orang telah dirakam percakapan mereka. Jadi mereka ini diambil keterangan untuk membantu persoalan mengenai akaun dan sebagainya,” katanya.
Setakat Isnin lepas, Azam dilaporkan berkata, empat saksi dari PNB, Khazanah, dan MOF telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan terbabit.
Pada hari yang sama, SPRM juga telah menyerbu pejabat sebuah perniagaan fesyen dalam talian tempatan dan tiga premis lain serta merampas pelbagai dokumen untuk tujuan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram