TINDAKAN sekumpulan lelaki mengalihkan kereta yang diletakkan di tepi jalan bagi memberi laluan kepada sebuah bas di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) baru-baru ini menerima pujian orang ramai.
Menerusi video dimuat naik di akaun TikTok @abgzul08 pada Ahad, beberapa lelaki warga asing itu dilihat bekerjasama mengangkat kereta yang menghalang jalan tersebut.
Dalam video sama, kelihatan sekumpulan lelaki yang merupakan penumpang bas terbabit sanggup bertindak sedemikian dalam keadaan hujan lebat.
BACA LAGI: Amalan ‘bertapa’ seorang diri tiada kaitan mistik, ilmu silat banyak bergantung pada doa
BACA LAGI: [VIDEO] Bekas fasilitator kongsi tip penting sebelum buat gimik macam UiTM Segamat
Difahamkan majoriti lelaki tersebut adalah pemain golf di Kejohanan Maybank pada hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, tarikh sebenar kejadian belum dapat dipastikan setakat ini.
Tindakan mereka juga mendapat perhatian warganet kerana mempunyai rasa tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya.
Bukan itu sahaja, mereka juga bertindak mengalihkan beberapa lagi kenderaan yang menghalang laluan bas tersebut.
Selepas tindakan itu berjaya, kedengaran sorakan daripada seorang wanita di lokasi itu dengan menyatakan 'syabas semua'.
Usaha mereka juga mengagumkan ramai sehingga video itu meraih lebih 142,000 tontonan dan lebih 3,600 tanda suka.
"Ini boleh jadi contoh positif dan mampu ubah mentaliti pengguna jalan," komen @farishiskandar.
"Mereka nampak macam bukan orang muda tetapi tetap bersedia untuk bantu alihkan kereta. Siap boleh ketawa lagi masa angkat kereta," kata @Aqillahassan.
Tidak terkecuali juga ada yang mengecam tindakan pemilik kereta yang bertindak menjadikan kawasan tepi jalan sebagai parkir sehingga menghalang laluan kenderaan lain.
"Macam mana bas nak lalu macam tu kalau dua-dua kawasan ada kereta," ujar @rashidah_zainal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram