SEJAK beberapa minggu lalu selepas Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk melancarkan robot pintar bernama The Optimus atau Tesla Bot, pelbagai reaksi timbul di ruangan media sosial.
Ini termasuk keterujaan orang ramai terhadap kebolehan komunikasi dua hala bersama orang awam yang ditonjolkan robot canggih itu.
Revolusi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menggemparkan itu menimbulkan spekulasi tentang penggantian tenaga kerja manusia kepada sebuah robot.
Turut mendapat perhatian orang ramai apabila kewujudan robot AI itu dikatakan seakan-akan filem yang pernah ditayangkan sebelum ini seperti I, Robot, lakonan Will Smith pada 2004.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Pemilik akaun Facebook, Arruhul Jadid menjelaskan ciptaan tersebut adalah realiti dan bukan lagi sebuah filem atau drama.
"Ini benar-benar berlaku. Robot yang Tesla keluarkan boleh menggantikan banyak pekerjaan manusia. Tesla dijangka akan mengeluarkan berjuta-juta unit ke seluruh dunia," katanya menerusi sebuah rakaman video.
Harga yang ditawarkan dianggarkan lingkungan AS$20,000 (RM86,100) hingga AS$30,000 (RM129,150) yang dianggap masih mampu milik.
Elon Musk melancarkan robot pintar bernama The Optimus. — Agensi
Selain kelebihan robot tersebut yang dikatakan mampu aktif sehingga 24 jam, Arruhul memberi bayangan robot itu dapat menggantikan pekerja dengan nilai yang lebih berbaloi daripada membayar gaji seorang pekerja.
Dia memberi contoh kiraan gaji pekerja dengan bayaran RM2,000 yang harus dibayar majikan.
"Dalam tempoh setahun, majikan perlu membayar lebih kurang RM24,000, (kalau) lima tahun, jumlah RM100,000. Tambahan pula kakitangan yang ada perangai, macam-macam masalah dan sebagainya," ujarnya.
Persoalan yang dilemparkan, apakah yang akan berlaku kepada pekerjaan seperti juruwang, pengendalian data dan sebagainya? Adakah berbaloi untuk majikan menggantikan pekerjaan tersebut dengan The Optimus atau sebaliknya.
Terdahulu, platform media sosial TikTok memberhentikan ratusan pekerja daripada tenaga kerja globalnya, termasuk sebilangan besar kakitangan di Malaysia dan dikatakan ingin menggantikan tugasan tersebut dengan teknologi AI. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram