Niat mahu berkebun depan rumah, suri rumah parah dirempuh kereta elak kucing di Melaka


  • 112
  • Khamis, 07 Nov 2024

Seorang suri rumah berusia 37 tahun cedera parah selepas dirempuh oleh pemandu wanita kereta yang cuba mengelak kucing melintas.  — Polis

SEORANG suri rumah berusia 37 tahun bertarung nyawa di Hospital Melaka selepas dirempuh oleh seorang pemandu wanita yang cuba mengelak kucing melintas dalam kejadian di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka.

Difahamkan, mangsa sedang berkebun ketika kemalangan itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengenal pasti mangsa sebagai Yeo May Fong yang mengalami kecederaan serius di kepala, kaki dan pinggul pada pukul 11.41 malam pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu kereta berusia 29 tahun itu mendakwa dalam laporan polisnya bahawa dia cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing yang melintas jalan di kawasan perumahan itu sebelum keretanya hilang kawalan lalu merempuh mangsa dan sebuah lagi kereta yang diletakkan berhampiran kawasan itu.

BACA LAGI: Dari Kuala Lumpur ke panggung dunia, soroti kisah kejayaan Bernard Chandran bergelar 'Raja Fesyen Malaysia'

BACA LAGI: Tangkas memanah guna busur tradisional, Muhammad Khalif hidupkan sunnah Rasulullah di zaman moden

“Pemandu yang bekerja sebagai penyelia turut tinggal di taman perumahan yang sama manakala pemilik kereta lain yang berusia 37 tahun turut membuat laporan polis kerana kenderaannya mengalami kerosakan dalam kejadian itu,” katanya pada Khamis.

Christopher berkata, kejadian itu kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa penjagaan dan perhatian yang sewajarnya atau tanpa pertimbangan munasabah untuk orang lain yang menggunakan jalan itu.

Mangsa dilaporkan telah menjalani pembedahan pada malam Rabu dan kini masih berada di Unit Rawatan Rapi di hospital berkenaan. — The Star/RSN MURALI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram