CALON daripada Republikan, Donald Trump menang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) apabila sudah melepasi majoriti diperlukan untuk memenangi jawatan nombor satu itu dengan 277 undi elektoral.
Memetik laporan dari Anadolu Agensy, Trump pada Selasa berhasil menewaskan pesaing terdekatnya iaitu Naib Presiden, Kamala Harris dan sekali gus bakal menyaksikan bekas presiden itu kembali ke Rumah Putih.
Lebih mengejutkan apabila ahli perniagaan berusia 78 tahun berkenaan berhasil meraih undi di 'negeri atas pagar' seperti Pennsylvania, Georgia, Carolina Utara, Michigan, Arizona, Wisconsin, dan Nevada.
BACA LAGI: Kes tekap seterika di UPNM: Tiada unsur buli, hanya gurau spontan — Polis KL
BACA LAGI: [VIDEO] Dipukul beramai-ramai, mangsa tak buat repot kerana tidak cedera — Polis Pulau Pinang
Bercakap kepada penyokongnya pada Rabu di ibu pejabat kempennya di Florida, Trump menyatakan bahawa akan memperjuangkan semua nasib rakyat AS sambil mengucapkan terima kasihnya kepada pengundi.
"Setiap rakyat di negara ini, saya akan berjuang untuk anda, untuk keluarga anda dan masa depan anda. Saya akan membuat semua orang sangat gembira dan berbangga dengan undi mereka.
"Negara kita memerlukan bantuan. Kami akan membetulkan semuanya termasuk sempadan kami. Kami akan membetulkan segala-galanya tentang negara kami," katanya ketika memberi ucapan di ambang kemenangannya.
Calon Demokrat, Kamala Harris. — AFP
Manakala, kesuraman dilihat di kem Harris dekat Universiti Howard di Washington, apabila calon Demokrat itu sendiri tidak kelihatan dan difahamkan tidak akan memberi ucapan proses undian.
Bagaimanapun, wakilnya iaitu Cedric Richmond selaku pengerusi bersama kempen calon tersebut berkongsi bahawa Harris akan tampil memberi ucapan pada Rabu (waktu Amerika Syarikat).
"Anda tidak akan mendengar (ucapan) daripada naib presiden malam ini (Selasa, waktu AS) tetapi anda akan mendengarnya esok," kata Cedric di sebuah majlis menonton keputusan pilihan raya itu, di Washington.
Harris setakat ini memperoleh 195 undi elektoral, termasuk paling besar di California dan New York serta ibu negara AS, Washington. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram