[VIDEO] Pencuri kabel naik 2 kereta mewah di Mentakab masih bebas, buat bodoh teruskan ‘kerja’ walaupun dirakam penduduk


  • 112
  • Isnin, 04 Nov 2024

Polis sedang memburu sekumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian mencuri kabel tembaga di Taman Keramat, Mentakab, Pahang.

TULAR di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki tidak mempedulikan gelagat mereka mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi dirakam penduduk sebaliknya terus melakukan jenayah itu.

Susulan kejadian itu, polis sedang memburu sekumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian mencuri kabel tembaga di Taman Keramat, Mentakab, Pahang awal pagi Isnin yang tular di media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner, Mazlan Hassan, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 2.45 pagi.

BACA LAGI: [VIDEO] Cuaca sudah panas, tak dapat tahan sabar punca sekumpulan lelaki bergaduh guna senjata lepas kemalangan di Lahad Datu

BACA LAGI: [VIDEO] Mahkamah Thailand beri keizinan polis tahan 6 suspek Malaysia selama 3 bulan

Menurutnya, pengadu melihat sekumpulan suspek yang menaiki dua buah kenderaan sedang mencuri kabel dalam lurah pembentung di hadapan rumahnya.

“Suspek turut bertindak membaling botol plastik ke arah pengadu. Semakan lanjut mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan adalah palsu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam kejadian tersebut telah membuat laporan polis dan mengesahkan terdapat kabel milik mereka yang dipotong dengan anggaran kerugian sekitar RM500.

Kes tersebut kini sedang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan mencuri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram