Langgar pelajar di Ipoh: Tertuduh tahu tindakannya berbahaya, bertindak tanpa sebab — Timbalan Pendakwa Raya


Mohd Nazri didakwa membunuh pelajar Tingkatan Lima pada 2023 di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak. — The Star

MAHKAMAH Tinggi Ipoh, Perak memaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan membuktikan tindakan pegawai kanan polis yang melanggar motosikal dinaiki pelajar berusia 17 tahun sehingga menyebabkan kematian pada Disember 2023 dengan niat membunuh.

Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz di hadapan hakim Datuk Bhupindar Gurcharan Singh Preet berkata, tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak merempuh mangsa dengan pantas tanpa mengambil sebarang tindakan untuk mengelak.

Afzainizam berkata, had laju yang dibenarkan di kawasan kejadian adalah 30 kilometer per jam (km/j) sahaja.

BACA LAGI: Pegawai polis didakwa bunuh pelajar di Ipoh tukar pasukan peguam

BACA LAGI: Tiada alasan luar biasa, mahkamah tolak jaminan pegawai polis didakwa bunuh pelajar

2999437

Mohd Nazri akan dibuktikan melakukan perbuatan itu dengan niat membunuh. — The Star

"Perbuatan tertuduh melanggar kenderaan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

"Kami juga akan membuktikan bahawa tertuduh tahu perbuatannya itu berbahaya dan berkemungkinan menyebabkan kematian.

"Tertuduh bertindak sedemikian tanpa sebab," katanya pada Selasa.

Pada 15 Disember 2023, Mohd Nazri didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie di persimpangan Jalan Taman Jati, Ipoh.

Afzainizam berkata, tertuduh pergi ke kawasan sekolah menaiki keretanya dan mengejar mangsa yang sedang menunggang motosikalnya.

"Tertuduh mengekori dan mengejar mangsa dari persimpangan Jalan Taman Jati 1/Perkeliling Meru Indah menghala ke Masjid Al Fateh Muhammad dan sebuah kawasan perumahan.

"Setibanya di hujung jalan kawasan perumahan itu, tertuduh dan mangsa berpatah balik ke arah laluan sama menghala semula ke simpang.

"Tetapi, tertuduh terus mengekori dan mengejar mangsa dan apabila sampai di persimpangan, dia (tertuduh) merempuh belakang motosikal mangsa," jelasnya.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, arwah mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun.

Perbicaraan juga akan disambung pada Rabu ini. — The Star/ MANJIT KAUR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram