DALAM kalangan pemain industri sektor pengurusan penjagaan kesihatan global, Amir Firdaus Abdullah merupakan satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Hampir empat dekad berkecimpung dalam industri tersebut, figura hebat itu amat dikenali dengan kepakarannya mentransformasi penyampaian industri penjagaan kesihatan menerusi penggunaan inovasi teknologi seiring trend semasa.
Berpengalaman dalam bahagian pentadbiran hospital juga membuka peluang untuk beliau mengetuai VPS Healthcare, iaitu kumpulan penjagaan kesihatan multinasional yang menyelia sebanyak 125 pusat perubatan dan 23 hospital di seluruh Asia Barat, India dan Eropah.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Senarai jawatan dan organisasi yang dipimpin oleh usahawan berusia 60 tahun itu juga bukan calang-calang.
Antaranya sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden DaVita Kidney Care (Asia Tenggara) dan Kumpulan Pantai Holdings, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Hospital Gleneagles serta Pengarah Hospital Parkway Pantai.
Berbekalkan pengalaman dan kepakaran dimiliki, tidak hairanlah apabila beliau kini mampu mengemudi kumpulan penjagaan kesihatan, Aurelius Healthcare Sdn Bhd sejak 2019.
Bertanggungjawab sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengerusi Aurelius Healthcare, Amir Firdaus meletakkan sasaran supaya Aurelius Healthcare memberikan fokus terhadap aspek empati dalam penjagaan berbanding atas dasar keuntungan semata-mata.
Amir Firdaus berkata, hospital tertiari penjagaan kesihatan Aurelius memiliki semua pengkhususan perubatan dan pembedahan yang memenuhi spektrum keperluan penjagaan kesihatan pesakit tempatan dan antarabangsa.
Disebabkan itu, di samping menitikberatkan perihal perkhidmatan canggih berinovasi, keselesaan, keselamatan hospital, keperluan asas dan kesejahteraan pesakit turut menjadi keutamaan.
Prinsip itu seiring dengan moto Aurelius Healthcare, To Breath, To Think, To Care, To Love.
“Aurelius Healthcare berpegang pada tiga elemen utama iaitu manusia, perkhidmatan dan kualiti. Perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mesra dan mudah diperoleh setiap lapisan masyarakat turut menjadi keutamaan kami,” katanya.
Beliau yang juga anak kelahiran Negeri Sembilan itu berkata, hospital tertiari penjagaan kesihatan Aurelius memiliki semua pengkhususan perubatan dan pembedahan yang memenuhi spektrum keperluan penjagaan kesihatan pesakit tempatan dan antarabangsa.
Hospital tertier merujuk kepada perkhidmatan inovasi, kecanggihan peralatan, kepakaran dan kemudahan perubatan disediakan khusus bagi pesakit kritikal menjalani rawatan atau prosedur kesihatan yang kompleks.
Berkembang
Dalam pada itu, Aurelius Healthcare turut merancang membina portfolio hingga enam hospital tertiari di Asia Tenggara menerusi penjenamaan semula hospital dengan pelaksanaan pengurusan strategik.
Hospital pertamanya, Aurelius Hospital Negeri Sembilan yang bermodalkan anggaran RM200 juta dibuka sekitar September 2021.
Penerimaan masyarakat terhadap pembukaan hospital itu amat memberangsangkan sehingga mencatatkan keuntungan tiga kali ganda dalam tempoh 18 bulan bagi perkhidmatan terbaik.
Aurelius Healthcare menjalinkan kerjasama strategik dengan Pusat Perubatan Pahang pada 2023 yang kini dikenali sebagai Aurelius Hospital Pahang. — Aurelius Healthcare
Lebih membanggakan, Aurelius Hospital Negeri Sembilan dicalonkan dalam Newsweek Rankings 2024 bagi kategori Hospital Terbaik Dunia.
“Bermula 100 katil, jumlahnya bertambah kepada 150 katil, sementelah satu daripada 30 pesakit pula menunjukkan penerimaan positif terhadap pembukaan hospital ini (Aurelius Hospital Negeri Sembilan).
“Berikutan situasi tersebut kami sentiasa terus proaktif dan bersedia mencari peluang strategik untuk mengubah dan berinovasi dalam pengurusan hospital dan penjagaan kesihatan baik di bandar mahupun luar bandar,” jelas beliau.
Seterusnya, Aurelius Healthcare terus berkembang mewujudkan Aurelius Hospital Alor Setar di Kedah pada 2022 sebelum menjalinkan kerjasama strategik dengan Pusat Perubatan Pahang pada 2023 yang kini dikenali sebagai Aurelius Hospital Pahang.
Mengulas lanjut mengenai inovasi diterapkan, beliau berkata, Aurelius Healthcare menetapkan sasaran untuk berada di barisan hadapan dalam mempraktikkan teknologi baharu bagi memastikan penyampaian penjagaan kesihatan kekal canggih.
“Kami juga giat mempromosikan budaya kerja pantas dengan pendekatan inovasi. Disebabkan itu, saya menekankan tentang pelaburan dalam kecanggihan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) agar operasi hospital terus efisien dan kondusif,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Pakaian seragam
Seragam hospital Aurelius Healthcare mendapat sentuhan daripada pereka fesyen tempatan terkenal, Rizman Ruzaini. — Aurelius Healthcare
Ujar Amir Firdaus, usaha tersebut secara tidak langsung berupaya menjadikan Aurelius Healthcare sebagai pemangkin untuk mendorong organisasi penjagaan kesihatan lain bersama-sama meningkatkan standard dalam penjagaan klinikal.
Istilah standard itu tidak hanya tertumpu pada teknologi canggih, malah merangkumi budaya di tempat kerja yang memberi inspirasi, dedikasi dan semangat, sekali gus mewujudkan platform penjagaan kesihatan yang teguh di Asia Tenggara.
“Kolaborasi dengan pereka fesyen tempatan, Rizman Ruzaini menghasilkan pakaian seragam hospital antara pendekatan baharu diambil.
“Setiap elemen dilaksanakan adalah penting daripada fasa menjaga pesakit sehingga imej kakitangan,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran dilalui, Amir Firdaus mengakui ia adalah satu lumrah perlu dihadapi golongan usahawan.
Bagaimanapun, setiap pahit dan manis yang datang meniupkan semangat untuknya terus mengatur langkah ke hadapan.
“Sebagai Muslim, saya juga berpegang pada konsep Amor Fati (berdamai dengan takdir) dan melihat cabaran dalam perspektif berbeza dan mencari solusi inovatif,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menjelaskan, prinsip kepimpinan beretika dengan mengutamakan kesejahteraan organisasi dan keselamatan pesakit turut menjadi keutamaannya.
Falsafah itu diambil daripada Presiden Persatuan Gas Mampat British, (BCGA), David Hurren, yang menyifatkan hospital adalah tempat berbahaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram