SEORANG remaja warga Malaysia dihukum penjara seumur hidup di United Kingdom (UK) kerana menyerang dua pelajar menggunakan tukul di negara tersebut selepas mahkamah menjatuhkan hukum pada Sabtu lalu.
Menurut laporan akhbar tempatan Daily Mail, Thomas Wei Huang, 17 tahun, bergaduh dengan salah seorang mangsa selepas dia diejek semasa kelas mata pelajaran Sains dan insiden itu turut melibatkan ketegangan dengan seorang lagi pelajar perempuan.
Semasa dibicarakan, pihak mahkamah mengesahkan Wei Huang obses dengan senjata seperti tukul dan pembunuhan ganas.
Malah, dia didapati melakukan penyelidikan dalam talian mengenai pembunuhan bersiri dan kaedah membunuh.
BACA LAGI: Warga emas nyanyuk tak sedar anak sudah meninggal 5 hari sehingga polis datang di Tanah Merah
Seorang pakar psikologi mencadangkan bahawa tindakan Wei Huang boleh dikaitkan dengan keganasan semasa tidur.
Namun, seorang lagi pakar berhujah bahawa Wei Huang mungkin berada dalam keadaan sedar semasa melakukan serangan itu.
Wei Huang pada perbicaraan itu menjelaskan dia menyimpan tukul di sebelah katilnya untuk melindungi dirinya jika berlaku 'serangan zombi', sambil menambah dirinya menyesali tindakannya itu.
Peguam Wei Huang, Kerim Fuad KC menyifatkan kes itu sebagai tragis dan kes luar biasa.
Beliau percaya insiden itu berlaku akibat tekanan melampau daripada peperiksaan, isu peribadi dan dakwaan eksploitasi seks.
Menurut laporan berita Sky News pula, Wei Huang menyerang dua remaja lelaki di asrama Sekolah Blondell dekat Tiverton, Devon pada Jun tahun lalu.
Kedua-dua mangsa mengalami keretakan pada tengkorak dan kecederaan pada tulang rusuk, limpa dan paru-paru ekoran kejadian itu.
Seorang lagi mangsa pula tertusuk paru-parunya.
Selain itu, Wei Huang juga menyerang guru yang cuba meleraikan pergaduhan.
Dia berkali-kali memukul guru berkenaan pada bahagian kepala dengan menggunakan tukul.
Tukul yang digunakan Wei Huang untuk menyerang mangsa. — Agensi
Hakim Johannah Cutts menegaskan Wei Huang sedar akan kesan akibat daripada tindakannya dan telah terlebih dahulu merancang serangannya.
Cutts juga menekankan bahawa tindakan Wei Huang itu menimbulkan risiko besar jika dia mengulangi tingkah laku yang sama sehingga mengundang tahap bahaya yang tinggi kepada orang ramai.
Wei Huang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan hukuman penjara minimum 12 tahun.
Identiti Wei Huang pada mulanya dirahsiakan daripada orang ramai.
Namun mahkamah membolehkan namanya didedahkan selepas mengambil kira perkembangan kes seumpama itu baru-baru ini.
Terdahulu, tular satu video yang dibuat menggunakan teknologi AI memaparkan Wei Huang menceritakan semula kejadian tersebut di laman YouTube. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram