TINDAKAN seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya di melawan arus di Jalan Lok Kawi – Putatan dekat Penampang, Sabah sehingga menyebabkan kemalangan pada Ahad mengundang amarah dalam kalangan warga maya.
Manakan tidak, menurut maklumat awal yang dikongsikan warga maya, penunggang motosikal tersebut beberapa kali ditegur oleh pengguna jalan raya yang lain sebelum kemalangan itu berlaku.
Malah kejadian itu juga berjaya dirakam dan dimuat naik semula di laman media sosial pada hari yang sama.
BACA LAGI: Warga emas nyanyuk tak sedar anak sudah meninggal 5 hari sehingga polis datang di Tanah Merah
Si bodoh lawan arus, end up kemalangan.
Kredit: Sabahan pic.twitter.com/JWnmlQXqUI
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) November 4, 2024
Difahamkan penunggang motosikal berkenaan telah merempuh sebuah kenderaan lain sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan di beberapa anggota badan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton mengesahkan kejadian tersebut dan satu kertas siasatan telah dibuka.
Beliau berkata, pihaknya terkesan sebuah video tular berdurasi 27 saat yang di muat naik di media sosial yang memaparkan seorang individu menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.
"Hasil siasatan awal mendapati penunggang motosikal yang ditunggang secara melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan Almera.
"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Menurutnya, pemandu kereta Nissan Almera tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram