SEORANG lelaki warga asing maut selepas terjun dari jejantas pejalan kaki kerana mengelak pemeriksaan imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru, Johor pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Raub Selamat berkata, pihaknya dimaklumkan orang ramai tentang kejadian melibatkan lelaki warga Sri Lanka berusia 30-an kira-kira pukul 4.48 petang Khamis.
Raub berkata, lelaki yang bekerja sebagai operator kilang itu bertindak sedemikian di jejantas menghubungkan BSI dan Johor Bahru Sentral.
Mayat mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian pada Khamis. ― Polis
Menurutnya, siasatan awal menunjukkan bahawa tindakannya adalah cubaan mengelak pemeriksaan imigresen di CIQ.
"Mangsa kemudiannya terjatuh di atas sebuah kereta yang melalui kawasan di bawah jejantas tersebut dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).
"Tiada unsur jenayah ditemui dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kejadian itu sekali gus menyebabkan aliran trafik di sempadan Johor Bahru dan Singapura sesak.
Beliau berkata, polis turut menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baru Selatan di talian 07-2182323. ― Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram