KETIKA pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan.
Langkah tersebut yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025 dilihat merupakan dasar cukup penting khususnya dalam memastikan kebajikan pekerja di Malaysia.
Namun, di sebalik itu, terdapat juga sesetengah pihak yang berkongsikan kebimbangan mereka mengenai kesan buruk mungkin berlaku ekoran daripada pengenalan kadar baharu berkenaan.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Antaranya melibatkan implikasi kewangan bakal dihadapi oleh majikan untuk melaksanakan langkah tersebut.
Ini kerana rata-rata majikan dijangka berdepan bebanan kewangan untuk merealisasikan dasar terbabit sehingga menyebabkan mereka berkemungkinan mengambil Langkah mengurangkan pekerja.
Imika yang mula diasaskan pada 2013 kini memiliki lebih daripada 100 cawangan kedai. — Facebook/AbdulRahim
Bagaimanapun, sebaliknya bagi syarikat peruncit barangan telefon pintar dan computer riba tempatan, Imika Empire Sdn Bhd (Imika), pelaksanaan kadar baharu dijangka tidak memberi kesan langsung terhadap perniagaannya.
Ini kerana menurut pengarah eksekutifnya, Abdul Rahim Tahir, syarikatnya sudah melaksanakan gaji minimum pada RM2,000 sejak hampir dua tahun lalu.
"Gaji minimum kini RM1,700. Namun, kami di syarikat ini telah mengamalkan gaji minimum RM2,000 untuk lebih 500 pekerja di seluruh Malaysia sejak hampir dua tahun lalu.
"Oleh itu, kenaikan ini tidak membawa kesan secara langsung kepada pekerja atau kos operasi syarikat kami," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Berkongsi kepada Majoriti, Abdul Rahim berkata, pengenalan gaji minimum RM2,000 di Imika itu mula dilaksanakan sejak Januari 2023.
Ujarnya, langkah tersebut sememangnya sudah dirancang sejak beberapa tahun lalu.
Malah, mereka juga pernah cuba melaksanakan kadar gaji minimum tersbut ketika tempoh awal operasi syarikatnya sekitar 2013.
"Kalau ikutkan sejarahnya, pada 2013 kita dah pernah cuba bagi gaji asas RM2,000. Sebab masa itu kita kerja lasak dengan jalankan karnival.
"Tapi selepas itu kita tak dapat bertahan sebab perniagaan acara atau karnival ini tak stabil. Cuma bila 2022 itu, kita nilai balik semula apa yang kita pernah buat dulu.
"Lagipun tak ramai masa 2021 dan 2022 pekerja kita yang gaji bawah RM2,000. Jadi itu dah memudahkan dan membolehkan kita laksanakan bermula 1 Januari 2023," katanya.
Imika kini beroperasi dengan lebih 500 pekerja. — Facebook/AbdulRahim
Imika yang mula diasaskan pada 2013 kini memiliki lebih daripada 100 cawangan kedai dengan 70 daripadanya berjaya dilancarkan dalam tempoh tujuh bulan termasuk di Sabah dan Sarawak.
Imika juga diiktiraf Malaysia Book Of Records pada 2023 sebagai rangkaian peruncit komputer 'refurbished' terbesar di dalam negara.
Abdul Rahim berkata, langkah melaksanakan gaji minimum yang agak tinggi itu dilakukan antara lain bagi memastikan syarikatnya menarik calon pekerja berkualiti yang mampu memberi kesan positif terhadap Imika.
"Pertama sekali, bila kita letak gaji yang bagus ini, kita akan dapat pilih pekerja yang berkualiti. RM2,000 mungkin agak rendah contohnya di Selangor dan Kuala Lumpur.
"Tapi kadar itu agak tinggi untuk Sabah dan Sarawak. Jadi ini juga sangat membantu bila kita luaskan operasi di kedua-dua negeri ini.
"Kedua, kita juga kurang mengalami kes pekerja berhenti," ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Rahim mengakui bahawa langkah melaksanakan gaji asas yang tinggi itu sememangnya agak memberi implikasi kewangan terhadap Imika.
Menurutnya, kos bagi operasi gaji kini adalah yang tertinggi buat syarikatnya selain daripada pemasaran dan sewaan premis.
"Tapi bagi saya point of view itu bagi saya yang penting. Kita anggap ia sebagai satu bentuk pelaburan. Contoh kalau sewa, kita bayar sewa mahal setiap bulan sebab kita nak lokasi yang bagus.
"Sebab bila di tempat yang prime, orang nampak brand kita. Jadi bagi saya, begitu juga dengan gaji. Ia satu pelaburan.
"Kita melabur dengan pekerja sebab kita nak pekerja bagi balik dengan cara bantu syarikat berkembang. Dia hanya akan jadi membebankan kalau kita tak dapat orang yang berkualiti," ujarnya.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, beliau percaya langkah untuk melaksanakan kadar gaji asas yang tinggi ini boleh bergerak secara mapan terhadap kesemua pekerjanya termasuk mereka yang mengisi posisi bukan teknikal seperti pembungkus barangan.
Ini kerana menurutnya, apa yang lebih penting selain daripada penetapan gaji, syarikatnya turut menyediakan ruang pembangunan karier dan dibantu dengan penetapan indeks utama prestasi (KPI) yang jelas buat pekerja.
Abdul Rahim berkata, Imika menyediakan peluang pembangunan kerjaya kepada pekerja. — Facebook/AbdulRahim
Langkah tersebut menurutnya membolehkan sekali gus membolehkan mereka terus memberikan nilai tambah dan sekali gus membantu kemajuan syarikat.
"Mungkin ada yang tanya, takkan kerja bungkus barang pun dapat gaji RM2,000. Tapi di Imika kita bagi juga.
"Sebab selain buat pembungkusan, mereka juga pada masa sama boleh bantu buat perancangan atau buat kerja lain yang lebih berkualiti yang boleh membantu jualan syarikat.
"Jadi dekat sini kami didik mereka untuk selain bantu syarikat dan dapat gaji, mereka juga boleh dapat pembangunan karier," katanya yang turut menyasarkan untuk meningkatkan gaji asas syarikatnya kepada RM3,000 pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram