Kenapa ada MP perjuangkan golongan maha kaya? — Anwar Ibrahim


  • Primer
  • Selasa, 29 Okt 2024

Perubahan terma T20 ke T15 dibuat selepas pertimbangan teliti tahap pendapatan isi rumah dengan semakan berterusan, kata Anwar.

AHLI Parlimen seharusnya menunjukkan rasa belas kasihan terhadap majoriti rakyat Malaysia berbanding menyokong kumpulan maha kaya atau T15, tegur Perdana Menteri terhadap segelintir wakil Dewan Rakyat yang mempersoalkan rancangan kerajaan menarik subsidi golongan itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ahli Parlimen perlu memberi tumpuan kepada 85 peratus rakyat Malaysia yang akan terus mendapat manfaat daripada pemberian subsidi.

“Prinsip subsidi bersasar mesti jelas. Kita terpaksa laksanakan perkara ini kerana kerajaan menanggung kira-kira RM20 bilion setahun. Adalah munasabah untuk mengharapkan subsidi dan bantuan disalurkan kepada rakyat,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

BACA LAGI: Gadis 17 tahun bermata coklat hilang sejak Jun, kali terakhir dikesan di Kampung Sungai Ara

BACA LAGI: 'Kami sengaja berlatih di lokasi berbeza', anggota bomba Bagan Jermal amal latihan intensif demi kekal cergas

Beliau turut mempersoalkan keadilan dalam mengekalkan subsidi untuk kumpulan maha kaya.

“Adakah munasabah untuk kerajaan meneruskan subsidi untuk bukan warganegara dan golongan berpendapatan tinggi, termasuk golongan maha kaya?

"Mengapa kita perlu menjadi juara untuk T15 seperti yang dihujahkan oleh ramai ahli Parlimen Pembangkang? Kita perlu memastikan subsidi (manfaat) 85 peratus daripada populasi," jelas Anwar.

Kenyataan beliau itu menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berhubung subsidi bersasar dan cukai dividen dua peratus ke atas pemegang saham individu bagi pendapatan melebihi RM100,000.

Perdana Menteri menegaskan bahawa keputusan peralihan tumpuan daripada kumpulan T20 ke T15 dibuat selepas pertimbangan teliti tahap pendapatan isi rumah dengan semakan berterusan.

Beliau berkata sesetengah orang berpendapatan tinggi mungkin memperoleh pendapatan serendah RM13,000 sebulan manakala yang lain meraih RM100,000 atau lebih.

Perkara berkenaan memerlukan pendekatan berbeza terhadap subsidi dan percukaian, tambahnya.

“Mengapa tidak ada pendirian untuk berkata ‘Ya, wajar untuk mengenakan kadar pasaran kepada golongan kaya dan berpendapatan tinggi’?

“Apabila kita menaikkan harga bahan api untuk mencerminkan kadar pasaran, ia terpakai kepada warga asing dan T15. Bukan kepada semua rakyat,” jelasnya.

Bagaimanapun Nik Zawawi membalas jawapan Anwar itu dengan membangkitkan kebimbangan berkenaan beban individu berpendapatan tinggi dan kemungkinan pelabur akan meninggalkan Malaysia jika cukai dividen dua peratus dilaksanakan.

“Ramai pemilik perniagaan yang beroperasi sebagai individu sudah pun menghadapi perbelanjaan besar dan obligasi cukai.

“Menambah cukai ini boleh membebankan mereka lagi dan terdapat risiko pelabur berpindah ke luar negara,” kata Nik Zawawi.

Anwar menekankan bahawa individu yang lebih kaya harus dikenakan cukai secara adil.

Bagaimanapun Anwar menyatakan kebimbangan terhadap tumpuan melindungi golongan maha kaya.

“Apakah kita tidak prihatin untuk mempertahankan kepentingan golongan berpendapatan rendah? Nampaknya 85 peratus penduduk tidak penting bagi kita.

"Siapa yang kita pertahankan di sini? Mereka yang mempunyai saham bernilai RM2 juta?" soal Anwar.

Beliau menekankan bahawa individu yang lebih kaya harus dikenakan cukai secara adil.

“Adakah kita progresif jika kita menafikan keperluan untuk membayar dividen bagi mereka yang mempunyai saham berjuta-juta ringgit?

“Saya harap ahli yang berhormat boleh mengemukakan cadangan lain tetapi mengatakan kita tidak patut mengenakan cukai kepada golongan ini, nampaknya pelik dan bertentangan dengan prinsip pengagihan kekayaan yang saksama,” jelasnya.

Pada masa sama, Anwar juga menangani kekeliruan mengenai definisi T15 dan memberi jaminan bahawa kerajaan akan menyemak secara berkala tahap pendapatan isi rumah.

“Kami sedang berbincang sama ada untuk menaikkan ambang pendapatan kepada RM15,000 atau RM20,000 atau lain-lain.

“Perkara ini sedang dibincangkan dan tidak ada percanggahan seperti yang dicadangkan oleh sesetengah pihak,” tambahnya— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram