KIRA-KIRA 1,500 orang yang menghadiri konsert bertemakan 'Malam Perayaan Patah Hati' di sebuah kafe di Kemaman, Terengganu diarah bersurai selepas aktiviti itu didapati tiada permit dan kelulusan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, serbuan ke atas sebuah kafe itu dilakukan kira-kira pukul 11 malam dengan ia diminta dihentikan serta-merta oleh pihak polis.
Menurutnya, pihak polis bertindak selepas menerima laporan awam berhubung kesesakan lalu lintas serta gangguan bunyi muzik yang kuat di situ kira-kira pukul 9.20 malam.
BACA LAGI: Dakwaan rakyat Malaysia jadi tentera upahan Ukraine, polis tunggu butiran terperinci Kedutaan Rusia
BACA LAGI: Lelaki Myanmar maki hamun polis Malaysia di Tiktok positif syabu, kena reman 4 hari
“Kira-kira 1,500 peserta hadir pada program terbabit yang didapati tidak mempunyai permit kelulusan.
“Pihak polis mengarahkan penganjuran program itu dihentikan dan mengarahkan kesemua peserta bersurai.
“Pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) telah membuat pemantauan awal mengenai penganjuran program itu dan telah menampal notis larangan berkumpul.
“Bagaimanapun, program berkenaan tetap diteruskan dan siasatan lanjut sedang dilakukan dan kita akan memanggil penganjur program itu untuk memberi keterangan,” katanya.
Serbuan ke atas sebuah kafe itu dilakukan kira-kira pukul 11 malam.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memaklumkan kepada pihak polis berkaitan penganjuran dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 kerana tiada lesen hiburan.
Sebelum itu, tular di laman sosial Facebook dan TikTok mengenai penganjuran program itu sehingga menyebabkan kebanyakan peserta dilihat tidak berpuas hati selepas diarahkan bersurai oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram