SEORANG lelaki warga Myanmar ditangkap selepas dipercayai memuat naik hantaran berbaur makian terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sosial media pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 5 petang Selasa.
Katanya, anggota Balai Polis Pandan Indah memaklumkan dia melihat video berdurasi 45 saat di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat dan ditonton 160,000 kali oleh orang awam.
BACA LAGI: [VIDEO] Terlupa mesin masih beroperasi, pekerja kilang di China terbelah 2 dihimpit pemadat logam
"Suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan pada pukul 7 malam oleh anggota Balai Polis Pandan Indah di Pandan Jaya dekat Ampang Jaya, Selangor pada hari sama (Selasa)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau lagi, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
"Suspek direman empat hari bermula Selasa sehingga 1 November ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 504, Seksyen 353 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,"katanya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang lelaki warga asing menggunakan perkataan jelik terhadap PDRM mengundang amarah dalam kalangan warga maya.
Melalui satu video yang dimuat naik di laman X pada Isnin itu memaparkan lelaki warga Myanmar tersebut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pihak berkuasa.
Malah dia juga dengan beraninya menuduh anggota polis mengambil rasuah dan berlaku tidak adil. ― Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram