POLIS Perak akan meneruskan siasatan berhubung insiden bunyi letupan dan gegaran yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh, Perak pada 21 Oktober lepas.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan polis mengenai insiden tersebut masih berjalan.
“Polis belum dapat mengesahkan bunyi tersebut. Ia masih menjadi misteri,” katanya selepas menghadiri majlis serah tugas di Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.
BACA LAGI: Seluruh Ipoh tertanya-tanya, misteri gegaran, dentuman kuat kembali terjadi pada Isnin
Pada masa sama, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, bahawa pakar telah menolak dakwaan bahawa bunyi itu berasal dari gempa bumi, letupan sonik atau letupan kuari.
“Ia masih menjadi misteri, tetapi kami akan terus menyiasat jika ada bukti yang dapat dikaitkan dengan gegaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas dengan 20 agensi awam dan swasta untuk membincangkan punca sebenar insiden tersebut pada hari yang sama.
Azizi juga menyatakan bahawa mereka tidak menerima sebarang laporan kerosakan harta benda atau kemalangan yang berlaku akibat insiden itu.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak serta Jabatan Sukarelawan Malaysia juga tidak menerima laporan kecemasan disebabkan oleh gegaran,” tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram