Saddam Pittli idam bajet tambahan buat atlet beruniform dalam Belanjawan 2025


  • 112
  • Khamis, 17 Okt 2024

Saddam Pittli berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian peruntukan tambahan, khusus untuk atlet yang bertugas dalam unit beruniform menerusi Belanjawan 2025 pada Jumaat ini.

ATLET tempuh halangan negara, Saddam Mohd Pittli berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian peruntukan tambahan, khusus untuk atlet yang bertugas dalam unit beruniform menerusi Belanjawan 2025 pada Jumaat ini.

Menurut Saddam Pittli yang juga merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), penambahan bajet itu dapat membantu atlet terutamanya dalam kalangan unit beruniform lain bagi tujuan memperkasakan kebolehan setiap individu dalam sukan masing-masing.

Beliau berkata, penambahan peruntukan tersebut sekali gus dapat membantu menambah baik fasiliti sukan sedia ada.

BACA LAGI: 'Hanya terbayang wajah keluarga tersayang', Hasli trauma imbau tragedi helikopter PDRM terhempas di Tanah Merah

BACA LAGI: [VIDEO] Semangat tentera namun berjiwa atlet, perjalanan luar biasa Saddam Pittli sebagai anak jati Teluk Intan

"Malah penambahbaikan ini juga bukan sahaja untuk kegunaan anggota tetapi turut memberikan kelebihan kepada atlet lain.

"Contohnya, seperti sukan tempuh halangan, kita masih belum ada lagi fasiliti yang sesuai untuk digunakan," katanya kepada Majoriti.

2955641

Saddam Pittli ketika menerima anugerah Anugerah Lambang Emas dari Majlis Sukan Angkatan Tentera (MSAT) pada 2018.

Tambah beliau lagi, sukan bukan hanya bertujuan meningkatkan kecergasan fizikal anggota beruniform, sebaliknya ia turut memainkan peranan penting dalam membina disiplin dan daya tahan mental yang sangat diperlukan dalam tugas-tugas harian mereka, terutamanya untuk melindungi keselamatan awam.

"Anggota pasukan beruniform memiliki kualiti fizikal dan mental yang menjadikan mereka calon ideal untuk dilatih sebagai atlet.

"Bagi pendapat peribadi saya, dengan memberi lebih banyak fokus kepada pembangunan sukan dalam kalangan anggota ini, kerajaan bukan sahaja membantu mencungkil bakat-bakat sukan yang luar biasa.

"Saya juga berharap sukan tempuh berhalangan ini dapat diperkasakan pada masa akan datang dengan adanya fasiliti yang lebih baik," jelasnya lagi.

Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini dijangka menggariskan pelbagai langkah untuk memperkukuh ekonomi negara serta meningkatkan kebajikan rakyat, termasuk para atlet dan anggota beruniform. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram