SEBUAH kopitiam di Batu Berendam, Melaka berdepan tindakan undang-undang selepas didakwa menaikkan harga minuman sebanyak tiga kali sehingga 70 peratus peningkatan dalam tempoh kurang setahun.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Melaka, Norena Jaafar berkata, notis telah dikeluarkan kepada pengusaha kopitiam itu pada 22 Oktober di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Norena memaklumkan pemilik itu diberi tempoh 15 hari iaitu sehingga 5 November untuk memberi maklum balas secara bertulis berikutan notis yang dikeluarkan itu.
BACA LAGI: Murid lelaki berbaju merah jalur hijau hilang ketika ke sekolah agama di Kuala Lumpur
Siasatan dijalankan apabila pihaknya menerima aduan berkenaan harga minuman tersebut sebanyak tiga kali.
"Berdasarkan penemuan kami, memang terdapat tiga kenaikan harga pada tahun ini sahaja dengan setiap peningkatan mencecah sehingga 70 peratus.
"Pelbagai alasan yang dikemukan oleh pengusaha kopitiam termasuk pelaksanaan gaji minimum dan kenaikan kos bahan mentah," katanya kepada pemberita selepas program walkabout sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2024 di sebuah pasar raya tempatan.
Program itu dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Allex Seah Shoo Chin.
Norena menggalakkan pelanggan membuat aduan sekiranya berlaku kenaikan harga makanan dan minuman di premis makanan.
Norena berkata, sebab-sebab yang diberikan oleh pengusaha kopitiam itu disifatkan tidak munasabah dan kementerian memandang serius terhadap sebarang amalan pencatutan yang disengajakan.
Bahkan, beliau menggalakkan pelanggan tetap di premis makanan atau minuman untuk membuat aduan sekiranya menyedari sebarang kenaikan harga yang tidak wajar.
Sementara itu, beliau menyatakan bahawa 764 acara Jualan Rahmah telah diadakan di seluruh negeri dengan catatan jualan berjumlah RM23 juta dari 1 Januari hingga 30 September tahun ini.
Jualan tersebut bertujuan mengurangkan isu kos sara hidup terutamanya bagi kumpulan B40. Acara diadakan di pelbagai platform termasuk pasar raya dan kedai serbaneka di seluruh negeri.
Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.
“Dengan peruntukan yang meningkat daripada RM200 juta kepada RM300 juta untuk program Payung Rahmah di bawah Bajet 2025, KPDN Melaka menyasarkan untuk meningkatkan acara Jualan Rahmah sekitar 200 peratus berbanding jumlah keseluruhan tahun ini.
"Lebih banyak agensi dan usahawan akan terlibat tahun depan untuk meluaskan capaian program itu," jelasnya. ― The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram