Kerajaan akan muktamad golongan T15 dalam tempoh sebulan ikut lokaliti


  • Primer
  • Isnin, 28 Okt 2024

Asas takrifan T15 berlandaskan kepada pendapatan boleh guna bersih isi rumah, dengan ukuran tanggungan berdasarkan kelayakan kos asas sara hidup.

KEMENTERIAN Ekonomi sedang dalam proses memuktamadkan butiran kategori kumpulan T15 dengan kerjasama Kementerian Kewangan sebelum membentangkannya kepada Kabinet untuk kelulusan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, butiran tersebut dijangka siap dalam tempoh sebulan kerana perkara berkenaan perlu ada rangka kerja yang lebih tepat untuk kumpulan T15.

Ia akan ditentukan berdasarkan lokaliti, dan bukannya definisi nasional seperti dalam dasar sebelum ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Alami tekanan jiwa gara-gara rindu anak jadi punca warga Nepal culik budak 2 tahun di Rawang

BACA LAGI: [VIDEO] Sentiasa sarung jersi JDT dari Kulai ke Norway, anak jati Johor tetap setia saat kalah menang

“Ia (T15) tidak akan menjadi satu garis (takrifan) mudah untuk seluruh negara kerana perbelanjaan dan taraf hidup berbeza-beza mengikut kawasan.

“Kalau kita pakai takrifan menyeluruh untuk seluruh negara, ketidakadilan akan berlaku. Seseorang yang berpendapatan RM15,000 di Kuala Lumpur yang berada di kawasan yang mahal mungkin tidak dianggap kaya seperti yang berpendapatan RM15,000 di Gua Musang. Oleh itu, penentuan T15 mungkin berdasarkan lokasi," katanya.

Rafizi perkara tersebut selepas menghadiri sesi penglibatan pihak berkepentingan bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan kerajaan Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Isnin.

2278647

Rafizi memaklumkan proses memuktamadkan butiran kategori kumpulan T15 dijangka akan mengambil tempoh masa selama sebulan.

Selain itu, Rafizi menjelaskan asas takrifan T15 juga akan berlandaskan kepada pendapatan boleh guna bersih isi rumah, dengan ukuran tanggungan berdasarkan kelayakan kos asas sara hidup.

“Ini bermakna bagi setiap keluarga dengan saiz tertentu, berapakah jumlah minimum yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang baik.

"Kehidupan baik ditakrifkan bukan dengan hanya memiliki rumah yang baik dan akses kepada makanan serta minuman, tetapi juga ia termasuk perbelanjaan untuk menyertai aktiviti sosial, hiburan, dan sebagainya termasuk dengan kesihatan dijaga dengan baik," jelas beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2025 pada 18 Oktober lepas berkata beberapa subsidi akan dikurangkan kepada kumpulan T15 dan perkara berkenaan mendapat perhatian pelbagai pihak yang menggesa kerajaan menilai semula klasifikasi pendapatan isi rumah.

Ia bertujuan bagi mencegah pengecualian bantuan dan subsidi bahan api.

Anwar turut mengecam tindakan sesetengah pihak yang mempertahankan subsidi negara untuk kumpulan T15 sedangkan pendapatan mereka mencecah RM100,000 hingga RM1 juta. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram