KONTRATOR perlu menyemak semula kadar bayaran mereka kepada vendor berikutan kenaikan gaji minimum yang telah ditetapkan menerusi pembentangan Bajet 2025
Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman menggesa majikan untuk memastikan kontrak dan kos operasi pekerja dikaji semula supaya kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dapat dilaksanakan.
BACA LAGI: Polis buru 4 lelaki bantu kes dakwaan anak Abuya dikurung di Batu Hampar
BACA LAGI: Sahkan tiada aktiviti letupan kuari, Polis Perak siasat punca sebenar bunyi dentuman kuat di Ipoh
“Penting bagi majikan untuk merancang lebih awal bagi mengelakkan cabaran terhadap aliran tunai. Majikan yang mempunyai lima atau lebih pekerja perlu menyemak semula struktur gaji kakitangan dan memastikan pekerja yang berpendapatan kurang RM1,700 diselaraskan dengan kadar baharu tersebut.
“Manakala selepas tempoh penangguhan enam bulan, mereka yang mempunyai pekerja kurang daripada lima akan dikenakan kenaikan yang sama pada 1 Ogos ini.
Menerusi kenyataan pada Ahad, Syed Hussain menekankan betapa pentingnya syarikat membuat persediaan awal bagi memastikan majikan mematuhi perintah gaji tersebut bagi mengelakkan daripada dikenakan penalti.
Perniagaan mikro dengan pekerja kurang daripada lima orang diberi tempoh tangguh selama enam bulan bagi melaksanakan gaji baharu tersebut berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.
Beliau memaklumkan vendor kepada syarikat utama akan mengalami cabaran dalam memenuhi gaji minimum kerana kontrak yang sedia ada melangkaui 2025 bahkan ada yang sehingga 2027 dan seterusnya.
“Dengan gaji minimum baharu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkuat kuasa pada 1 Februari (lebih daripada lima pekerja) dan 1 Ogos (kurang daripada lima), tahun depan akan ada banyak vendor berdepan dengan masalah.
"Banyak vendor akan menghadapi masalah berikutan kesukaran untuk membuat pindaan kontrak dan mendapatkan kadar mereka disemak berdasarkan gaji minimum RM1,700 sebulan baharu.
"Kami menggesa semua pihak termasuk syarikat multinasional, syarikat pautan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta syarikat besar untuk meminda kontrak mereka dengan vendor atau mempunyai perjanjian berasingan dalam melaksanakan kontrak itu bagi membuat perubahan yang diperlukan,” katanya.
Syed Hussain menyatakan bahawa semakan semula kadar bayaran dengan mengambil kira kenaikan gaji minimum akan membolehkan vendor memenuhi kewajipan mereka untuk melaksanakan peningkatan tersebut.
“Sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita semua mesti bekerjasama untuk menghormati keputusan berkenaan. Kita mesti berperikemanusiaan dan memahami cabaran serta isu mereka,” katanya.
Dilaporkan bahawa gaji minimum negara akan dinaikkan kepada RM1,700 daripada RM1,500 berkuat kuasa 1 Februari 2025 (lebih daripada pekerja) manakala perniagaan mikro dengan pekerja kurang daripada lima diberi tempoh tangguh selama enam bulan bagi melaksanakan gaji baharu tersebut berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025. — The Star/ N. TRISHA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram