
DUA penuntut Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Pintasan Kuantan, Semambu, Kuantan, Pahang pada kira-kira pukul 12:20 tengah malam Isnin.
Mangsa merupakan penunggang motosikal, Muhamad Nor Iman Mahadi berasal dari Kota Bharu, Kelantan serta pembonceng, Mohammad Adib Suhail Jaeh yang berasal dari Pulai, Johor dengan kedua-dua mereka berusia 20 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas.
BACA LAGI: [VIDEO] Rider kena 'sekolah' buat live, tak hormati keluarga mangsa kemalangan maut
Menurutnya, akibat nahas itu penunggang dan pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian.
“Ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari arah pusat bandar ke Taman Datuk Rashid di Semambu dan motosikal dinaiki mangsa dipercayai terbabas akibat hilang kawalan.” katanya menerusi kenyataan media pada Isnin.
Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram