[VIDEO] Kanak-kanak 5 tahun rentung, 40 buah kediaman musnah terbakar di Tawau


  • 112
  • Ahad, 27 Okt 2024

Sebanyak 40 buah kediaman dilaporkan rentung di Lorong Jati, Kampung Kinabutan, Batu 5 Jalan Apas, Tawau, Sabah pada awal pagi Ahad. 

SEORANG kanak-kanak lelaki dilaporkan maut dalam tragedi kebakaran membabitkan 40 buah kediaman di Lorong Jati, Kampung Kinabutan, Batu 5 Jalan Apas, Tawau, Sabah pada awal pagi Ahad.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.10 pagi itu mengakibatkan sebahagian besar penghuni gagal menyelamatkan dokumen penting dan barangan berharga, berikutan api marak terlampau cepat selain kedudukan rumah yang sangat rapat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 12.55 pagi sebelum sepasukan 25 orang anggota bersama dua buah jentera dan unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

BACA LAGI: 'Berkawad di dapur', diet setiap platun berbeza, pensyarah MSU 'berjuang' dalam dunia kulinari TLDM

BACA LAGI: Tak sangka, abang bomba viral dukung warga emas rupanya pelantun lagu Iban 'Ke Pengujung Seput'

Menurutnya, kebakaran membabitkan 40 rumah jenis tidak kekal yang terbakar sepenuhnya.

"Terdapat seorang mangsa kanak-kanak lelaki berumur lima tahun ditemui rentung pada pukul 4.50 pagi dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

"Operasi pemadaman menggunakan sumber air terbuka dan api dapat dikawal pukul 2.28 pagi sebelum ditamatkan pada 6.06 pagi tadi," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, dalam operasi pemadaman itu, pihaknya berjaya menyelamatkan lebih 68 buah rumah berhampiran yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Titingan dan agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), SESB Dan PDRM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram