ETS, Komuter alami gangguan perkhidmatan akibat aktiviti penebangan pokok berhampiran landasan — KTMB


  • Primer
  • Isnin, 28 Okt 2024

Akibat gangguan tersebut, sebanyak 13 tren ETS mengalami kelewatan yang memberi kesulitan kepada 3,480 penumpang.

PERKHIDMATAN Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter yang mengalami gangguan pada Jumaat lalu adalah berpunca daripada aktiviti pemotongan pokok oleh pihak ketiga yang merosakkan talian elektrik, menurut Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) pada Isnin.

KTMB melaporkan insiden tersebut berlaku pada jam 2.45 petang, mengakibatkan kelewatan melebihi 120 minit untuk laluan ETS dan KTM Komuter Port Klang-Tanjung Malim-Port Klang oleh kerana hanya satu landasan yang boleh digunakan secara bergilir.

Akibat gangguan tersebut, sebanyak 13 tren ETS mengalami kelewatan yang memberi kesulitan kepada 3,480 penumpang.

BACA LAGI: Belanjawan 2025: Pengurangan subsidi pendidikan di SBP, IPTA golongan kaya boleh beri manfaat kepada semua pelajar

BACA LAGI: Belanjawan 2025: Peruntukan RM800 juta Bantuan Awal Persekolahan buat 5.2 juta murid tak kira pendapatan ibu bapa

ktm-komuter-train-at-seremban-station

Landasan yang mengalamai gangguan adalah laluan ETS dan KTM Komuter Port Klang-Tanjung Malim-Port Klang. — Train.36

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Taha menerusi kenyataannya berkata, semua penumpang dimaklumkan mengenai gangguan tersebut melalui SMS dan boleh meminta pemulangan penuh jika mereka tidak meneruskan perjalanan atau menerima perbezaan tambang jika perjalanan mereka tidak lengkap.

Beliau menasihatkan bahawa mereka yang memegang Pelan Takaful Premium boleh menghubungi Bantuan Tuntutan Etiqa di 1 300 88 1007/ 010 368 7829 atau e-mel [email protected] untuk memfailkan tuntutan jika perjalanan mereka tertunda lebih daripada empat jam.

"KTMB dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas atas kesulitan yang dialami.

"Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zain Taha melaporkan kerja-kerja pembaikan siap pada pukul 3.30 pagi Sabtu dan perkhidmatan kereta api disambung semula pada pukul 3.54 pagi.

"Sepanjang gangguan perkhidmatan, maklumat terkini telah dimaklumkan melalui media sosial rasmi dan kakitangan KTMB di setiap stesen.

"Polis bantuan turut membantu dalam memudahkan pergerakan penumpang yang terjejas," tambahnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram