SEORANG lelaki yang dilaporkan terjatuh dalam Sungai Golok dekat Kampung Dangar, Pasir Mas, Kelantan ditemukan lemas pada Khamis.
Mangsa, Mohd Bilal Othman yang bekerja sebagai buruh ditemukan pada pukul 3.01 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.21 tengah hari berhubung kejadian mangsa berusia 39 tahun yang dikatakan terjatuh ke dalam sungai.
BACA LAGI: Tragedi teman ayah pergi bank, budak 7 tahun maut kena hempap bongkah simen di Melaka
BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja kedai makan cedera lengan kanan kena tetak lelaki berparang di Raub
"Pihak bomba yang tiba di lokasi kejadian menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan tebing serta permukaan sungai.
"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Pengkalan Kubor yang tiba seterusnya melakukan selaman di kawasan sekitar," katanya pada Jumaat.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat melibatkan keseluruhan 17 anggota dan pegawai dari BBP Rantau Panjang, PPDA Pengkalan Chepa dan Pengkalan Kubor.
Pihaknya juga menggunakan bot dalam operasi berkenaan sebelum mangsa dapat ditemukan.
"Mangsa ditemui pasukan bomba pada jarak kira-kira 50 meter dari kawasan dia disyaki jatuh.
"Mayat lelaki tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Terdahulu, tular satu video memaparkan anggota bomba membawa mayat mangsa di lokasi kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram