Kes 1MDB: Najib mohon maaf kepada rakyat Malaysia


Najib melahirkan rasa dukacita mendalam terhadap insiden rasuah 1MDB yang berlaku semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berhubung salah laku yang berlaku terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohd Nizar di kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis, Najib melahirkan rasa dukacita mendalam terhadap insiden rasuah 1MDB yang berlaku semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Najib berkata, keputusan membuat kenyataan itu dilakukan selepas beliau melakukan refleksi selama 26 bulan di penjara berikutan perkembangan isu berkaitan 1MDB.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

“Pertama sekali, setiap hari saya berasa amat terluka mengetahui bahawa segala kecurangan dalam 1MDB berlaku semasa di bawah pengawasan saya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

"Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Najib pada masa sama mengakui sangat terkejut selepas mengetahui salah laku yang berlaku dalam 1MDB.

"Saya telah pun dihukum dari segi politik walaupun dengan jelas saya bukanlah dalang kepada segala penyelewengan dalaman 1MDB dan tidak pernah sekalipun bersubahat dengan Jho Low. Justeru, saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang," katanya.

Mengimbas kembali perkara yang berlaku, Najib mengakui beliau sepatutnya mengambil tindakan berbeza apabila timbulnya syak wasangka terhadap 1MDB.

"Saya telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan namun saya cenderung untuk mempercayai penjelasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB," ujarnya.

Najib berkata, sebaik dia mula mengesyaki salah laku yang terjadi, kebimbangannya segera tertumpu kepada terhadap kedudukan kewangan yang dihadapi 1MDB serta risiko kerosakan bakal terjadi terhadap hubungan diplomatik negara.

6111435023224783011

Permohonan maaf itu dibacakan oleh anaknya, Mohd Nizar (tengah) di kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau juga menimbulkan mengenai perbicaraan mahkamah baru-baru ini di Switzerland apabila eksekutif PetroSaudi disabitkan bersalah di samping siaran artikel oleh The Edge yang menganalisis lebih lanjut kes itu menggunakan e-mel dalaman PetroSaudi.

Pendedahan itu, katanya, menunjukkan beliau bukan dalang dan tidak bekerjasama dengan Jho Low dalam salah laku dalam dana 1MDB.

Najib berkata, artikel The Edge menyimpulkan bahawa PetroSaudi dan Jho Low menipunya sambil menambah bahawa beliau tidak menyedari PetroSaudi menggelapkan wang 1MDB dan secara tidak sedar menerima dana daripada urus niaga itu.

“Walaupun sukar bagi sesetengah pihak untuk memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur mempercayai pada masa itu bahawa dana yang saya terima adalah merupakan sumbangan politik daripada Kerajaan Arab Saudi.

"Seperti mana yang telah ditetapkan dalam prosiding mahkamah, memang terdapat dua sumbangan besar yang disahkan pada tahun 2010 diterima daripada Kerajaan Arab Saudi. Sumbangan tersebut tidak pernah menjadi subjek dalam mana-mana prosiding jenayah atau sivil," katanya.

Meskipun menyatakan 'kekesalan mendalam' terhadap kemelut di SRC dan 1MDB, Najib tetap menegaskan perkara yang dihadapinya adalah 'tidak adil' dan berharap bahawa proses kehakiman akhirnya akan membuktikan beliau tidak bersalah.

Najib, yang menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Beliau akan mengetahui keputusan pada 30 Oktober depan sama ada dirinya perlu membela diri dalam kes tersebut.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan memutuskan sama ada akan memanggil Najib untuk membela diri atas pertuduhan itu atau membebaskannya daripada pertuduhan terbabit. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram