PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan permohonan maaf bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Terima baik (diterima baik),” kata Anwar ringkas ketika ditanya mengenai permohonan maaf Najib selepas solat Jumaat di Surau Ar-Rahman di Presint 16 di Putrajaya pada Jumaat.
Pada Khamis, Najib telah meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia berhubung skandal 1MDB yang terjadi semasa beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohd Nizar Najib di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Najib berkata, beliau memutuskan untuk berbuat demikian selepas bermuhasabah sepanjang 26 bulan di dalam penjara berikutan perkembangan penting terkini tentang 1MDB.
Najib melahirkan rasa terkejut mengenai tahap krisis skandal yang berjumlah berbilion ringgit itu namun tetap menegaskan bukti terkini yang menyokong dakwaannya bahawa beliau tidak pernah sama sekali bekerjasama dengan ahli perniagaan bernama Low Taek Jho atau Jho Low yang kini menjadi buruan polis.
"Saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang. Saya masih lagi terkejut dengan mendalam apabila mengetahui tentang kepincangan, perbuatan yang tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan serta pelanggaran undang-undang yang telah berlaku di 1MDB.
"Saya amat kesal dengan apa yang telah berlaku di SRC dan 1MDB. Namun dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara yang saya tidak mulakan atau sengaja benarkan adalah tidak adil kepada saya.
"Saya berharap serta berdoa agar proses keadilan akan memihak kepada saya dan membuktikan saya tidak bersalah,’’ kata Mohd Nizar, 24 Oktober lalu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram