Naskhah lama jadi buruan penuntut Universiti Oxford, Bukuku Press giat jual buku nadir di Malaysia


  • Bizz
  • Selasa, 22 Okt 2024

Muhammad Nazreen (kiri) mula menubuhkan Bukuku Press sejak 2017.

SEBELUM melanjutkan pengajian di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), Muhammad Nazreen Mohd Jaafar bukan seorang individu yang dikenali sebagai ulat buku.

Malah, dia yang merupakan pengasas kedai buku nadir dikenali Bukuku Press juga tidak begitu akrab dengan kegiatan membaca.

Namun, perkara itu berubah selepas dia terlibat dalam aktivisme mahasiswa di universiti yang seterusnya membawanya bergelut dalam dunia buku.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

"Dari kecil saya bukanlah orang kuat membaca. Tapi saya lalui satu momen yang timbulkan minat dengan buku iaitu bila saya mula aktif dalam politik kampus.

"Bermula dari situ, saya berminat untuk mencari buku berkenaan politik, sejarah dan pengajian Malaysia untuk tahu lebih banyak," katanya kepada Majoriti.

Sejak itu, Muhammad Nazreen mula mengumpul lebih banyak buku sehingga membolehkannya mempunyai koleksi peribadi sebanyak 400 judul yang meliputi buku nadir (koleksi terbitan lama) dan buku langka (sukar ditemui).

Dengan koleksi tersebut, ia turut mencetuskan idea kepadanya untuk dia mula menjual naskhah yang berada dalam simpanannya di bawah jenama Bukuku Press secara dalam talian.

462321287_1212850736688644_5442705444675883484_n

Antara koleksi buku dijual di Bukuku Press.

"Bila mula menjual, saya terima banyak maklum balas dan antara yang saya ingat, ada pelanggan kata dia tak sangka dekat Malaysia masih ada orang yang meminati buku macam ini.

"Sebab dia tak pernah jumpa buku sebegini dekat tempat lain. Waktu itu kebanyakan koleksi saya adalah buku politik sejarah dari Asia Tenggara.

"Saya boleh kata 70 peratus naskhah yang dijual Bukuku Press memang tidak masuk dalam kedai buku besar," ujarnya.

Penerimaan awal itu kemudiannya memberikan keyakinan terhadap Muhammad Nazreen untuk meneruskan perniagaan jualan buku terpakai yang dimulakan dengan bermodalkan koleksi peribadinya.

Ujarnya, modal awal bagi memulakan Bukuku Press pada 2017 sepenuhnya menggunakan buku yang berada dalam koleksinya.

Menyentuh mengenai tempoh awal perniagaannya, Muhammad Nazreen yang juga berasal dari Kajang, Selangor mengakui dia turut mengambil masa untuk mempelajari kemahiran menjual buku nadir dan terpakai.

Malah ujarnya, dia juga pernah membuat kesilapan ketika waktu permulaan apabila menjual buku pada harga murah tanpa mengambil kira nilai sebenar naskhah terbabit.

"Pada awalnya saya tak faham lagi mengenai apa yang dikatakan buku nadir ini. Jadi saya masih ingat lagi waktu itu apabila saya menjual dua jilid buku bertajuk Islam Embedded tulisan Farish A Noor pada harga RM150.

"Tapi rupa-rupanya bila saya periksa harga pasaran buku tersebut berharga hampir RM600 ke RM700," ujarnya.

Mengambil pengajaran dari situ, Muhammad Nazreen berkata, dia mula lebih peka terhadap penilaian setiap buku terpakai yang dijual.

"Jadi setiap buku yang jual saya akan buat kajian untuk dapat maklumat kenapa buku ini nadir dan diburu pengumpul buku, tahun cetakannya, keadaan buku itu dan kenapa buku itu penting dalam kajian sesuatu bidang," katanya.

Selepas hampir tujuh tahun beroperasi, Muhammad Nazreen yang kini menetap di Oman berkata, permintaan terhadap buku nadir kini mula menunjukkan peningkatan di Malaysia meskipun masih belum sebesar seperti di negara Barat atau Jepun untuk negara di Asia misalnya.

462555583_1056878542584789_4636244728980468568_n

Pelbagai aspek diambil kira dalam jualan buku atau dokumen langka termasuk tahun terbitan dan keadaan naskhah tersebut.

Katanya, Bukuku Press yang beroperasi sepenuhnya secara dalam talian juga mempunyai kira-kira sekitar 20 pelanggan tetap.

Kongsi Muhammad, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan peribadi untuk membantu pelanggan mencari buku nadir diinginkan termasuk daripada kalangan pengkaji.

"Demografi pelanggan kami daripada pelbagai latar belakang. Bukan hanya VIP, ada juga daripada kawasan yang kita tidak sangka contohnya kita dapat tempahan daripada pelanggan di kawasan luar bandar di Sabah.

"Walaupun di kawasan pedalaman, ada bulan tertentu yang pembeliannya mencecah ribuan ringgit bagi mendapatkan buku khusus berkenaan sejarah Sabah.

"Ada juga pelanggan yang umur baru 18 tahun, tapi dia dah cukup teliti dengan koleksi buku yang dia nak," ujarnya.

Empat tahun tunggu jumpa buku langka

Menurut Muhammad Nazreen, 34, antara cabaran dihadapi sebagai penjual buku nadir adalah untuk mendapat naskhah baharu bagi simpanan koleksi jualannya.

Ujarnya, terdapat kes apabila mereka terpaksa menunggu sehingga empat tahun sebelum mendapat buku langka yang dimahukan.

"Kita ada satu pelanggan tetap yang juga seorang pengkaji dan memerlukan satu buku untuk kajiannya. Dia hubungi saya sekitar 2019. Tapi 2023 baru kita dapat buku itu. Dalam masa empat tahun, buku itu memang tak muncul dalam pasaran dalam talian dalam negara mahupun luar negara.

"Jadi lepas empat tahun baru kita ada rezeki jumpa buku itu secara kebetulan semasa satu sesi bidaan buku dalam talian. Kemudian bila kita hubungi balik pelanggan itu, dia kata masih nak buku itu.

"Sebab dia kata masih tak jumpa koleksi buku itu dalam termasuk di perpustakaan di Malaysia dan Singapura," ujarnya.

462323890_2533221193543884_1136147270570729579_n

Pada waktu ini, Bukuku Press menumpukan jualan buku baharu dan terpakai dalam bidang sejarah serta kajian masyarakat Malaysia.

Muhammad Nazreen berkata, kemudahan teknologi maklumat pada waktu ini memudahkannya untuk mendapatkan sumber dan rujukan mencari buku nadir dari seluruh dunia termasuk dengan menggunakan platform e-dagang seperti eBay.

Pada masa sama, menurutnya, dia juga menggunakan jaringan penjual buku nadir yang dimilikinya termasuk di negara yang terkenal sebagai lubuk buku nadir seperti di Beirut, Lubnan; Kaherah, Mesir dan di Amerika Syarikat.

Dia turut menyertai sesi lelongan dan bidaan dibuat di platform dalam talian.

Katanya, antara buku paling bernilai pernah diperoleh adalah penemuan kitab Injil Jawi dengan tahun cetakan pada 1750 yang didapati ketika satu sesi lelongan dalam talian.

"Buku itu saya berjaya jual kepada seorang pengumpul buku yang sedang menuntut di Universiti Oxford," ujarnya.

Selain itu, menurut Muhammad Nazreen, naskhah paling mahal pernah dijual adalah buku dalam bidang orientalis oleh penulis dari Belanda yang mengkaji mengenai masyarakat Indonesia pada akhir abad ke-19.

Pada ketika ini, Bukuku Press memiliki sebuah pusat pengumpulan di Subang Jaya, Selangor dan dibantu dengan empat orang pekerja yang menguruskan tempahan dan penghantaran.

Menurut Muhammad Nazreen, hampir 90 peratus proses penyumberan buku diuruskan olehnya yang bekerja secara jarah jauh dari Oman.

Bergerak ke hadapan, dia berkata, untuk jangka masa panjang, Bukuku Press mempunyai perancangan untuk mempunyai sebuah kedai buku fizikal.

Ujarnya, rancangan itu mungkin dilaksanakan apabila dia pulang menetap di tanah air.

Bagaimanapun, untuk jangka masa pendek, Bukuku Press menyasarkan untuk meluaskan lagi penawaran pemilihan bukunya dengan turut meliputi bidang kajian sejarah di negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

"Kalau kita lihat daripada segi data, kami dapati memang wujud peningkatan sekitar 20 hingga 30 peratus pembeli dari Singapura dan Thailand. Jadi kita cuba banyakkan koleksi buku dari negara tersebut," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram