SEORANG wanita bertindak di luar kawalan dengan memecahkan cermin dan merosakkan kereta miliknya ketika mahu diambil oleh penarik kenderaan berdaftar baru-baru ini.
Menerusi video tular di Facebook sejak Selasa, wanita tersebut bersama beberapa individu mengetuk cermin hadapan kenderaan itu menggunakan batu berkali-kali.
Difahamkan, kereta tersebut ditarik kerana pemiliknya gagal membayar hutang secara ansuran selama lapan bulan.
Perbuatan menghancurkan kereta itu juga dikatakan sebagai cara melepaskan kemarahan kepada pihak terbabit.
"Lepas tu pecahkan cermin, ketuk cermin kereta sebelum kereta ditarik. Pemiutang lelong kereta, bayar hutang tertunggak.
"Baki hutang, penghutang masih perlu selesaikan. Saya betul-betul kagum dengan pemikiran segelintir manusia seperti ini. Macam mana mereka boleh berfikir tanpa menggunakan otak ya," tulis individu yang memuat naik video terbabit, Rasis Jalil.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao memaklumkan, pihaknya sudah menerima laporan mengenai kejadian daripada seorang perempuan Melayu pada Rabu.
Beliau berkata, tiga lelaki tempatan yang menaiki lori tunda bertindak menceroboh masuk ke dalam kawasan parkir rumah dengan cara mengangkat pintu pagar untuk menarik kereta milik pengadu.
"Siasatan awal mendapati kereta tersebut telah tertunggak bayaran bulanan lebih kurang enam bulan.
"Bagaimanapun, suspek gagal menunjukkan surat tarik kereta daripada bank kepada pengadu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek kini dijalankan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram