Lelaki ditahan, buat laporan palsu dakwa 4 anak 'hilang' serentak di Mutiara Rini


  • 112
  • Khamis, 17 Okt 2024

Lelaki itu ditahan selepas gagal menunjukkan lokasi sebenar keempat-empat anaknya hilang di Mutiara Rini.

SEORANG lelaki berusia 41 tahun telah ditahan kerana membuat laporan polis palsu, mendakwa empat anaknya 'hilang' sekali gus.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, lelaki itu membuat laporan kira-kira pukul 2.40 pagi Khamis dan pihak polis dengan segera melakukan pencarian.

“Lelaki itu mendakwa empat anaknya berusia antara dua dan lapan tahun hilang di Mutiara Rini.

“Berdasarkan maklumat yang diberikannya, kami melancarkan pencarian untuk menjejaki kanak-kanak berkenaan tetapi tidak menemui mereka kerana lelaki itu gagal menunjukkan lokasi tepat di mana mereka kali terakhir dilihat.

"Kami juga mendapati kenyataannya tidak konsisten," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: [VIDEO] 'King servis bola drop is back', kehadiran Hairul Hazizi ubah rentak permainan Johor Tigris di GP Penang

BACA LAGI: [VIDEO] Lubang benam Bayan Lepas: Kerja baiki paip pecah siap selewatnya 7 hari — IWK

WhatsApp Image 2024-10-17 at 17.14.06

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan.

Siasatan kemudian menyebabkan polis mendapati empat anak lelaki itu selamat di rumah isterinya.

“Lelaki itu yang kami namakan sebagai suspek dikatakan selalu mengabaikan anak-anaknya.

"Individu tersebut juga mempunyai hutang yang menyebabkan dia membuat laporan polis palsu mengenai kehilangan anak-anaknya kerana bimbang penghutangnya akan mencari anak-anak itu berikutan kegagalannya membayar," tambahnya.

Ditanya sama ada suspek tinggal bersama isterinya, ACP Kumarasan berkata polis masih menyiasat perkara itu.

Suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 untuk pengabaian kanak-kanak.

Turut disiasat Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu yang boleh dijatuhkan hukuman enjara sehingga enam bulan dan denda maksimum RM2,000.

ACP Kumarasan menggesa orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana ia bertentangan dengan undang-undang dan boleh menyebabkan kekacauan awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram