Kena adil, jangan kenakan cukai berlebihan terhadap golongan 'maha kaya' — Rafidah Aziz


  • Primer
  • Selasa, 22 Okt 2024

Cukai yang terlalu tinggi dikenakan terhadap golongan 'maha kaya' akan membuatkan mereka tidak dapat menambah pendapatan. — Gambar hiasan/Agensi

GOLONGAN berpendapatan tinggi atau ahli perniagaan tidak seharusnya dikenakan cukai secara berlebihan oleh kerajaan kerana ia akan menghalang mereka menambah sumber pendapatan, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Rafidah berkata, cukai perlu dikenakan dengan adil kepada seluruh rakyat dan golongan elit tidak semestinya menjadi sasaran semata disebabkan status 'maha kaya'.

"Hal ini kerana, mereka yang menjana pendapatan. Jika mereka mempunyai perniagaan dan kami terlalu menekan, perniagaan mereka mungkin terjejas dan orang mungkin diberhentikan kerja.

"Jadi, jangan hanya melihat pada wang, tetapi lihat pada nilai tambah setiap entiti perniagaan," katanya.

BACA LAGI: Suhakam gesa kerajaan mansuhkan hukuman sebat susulan kes kematian banduan di Pokok Sena

BACA LAGI: Wanita mengamuk di stesen minyak Saujana Utama didenda RM5,500

5817692228347344400

Rafidah menjelaskan bahawa cukai perlu dikenakan secara adil kepada seluruh rakyat Malaysia. — The Star

Menurut Rafidah, pendapatan tambahan untuk kerajaan boleh dijana melalui tadbir urus yang baik dan langkah pencegahan rasuah.

"Cukai pendapatan sendiri sudah mencukupi. Jangan tambah cukai tambahan yang menghalang mereka daripada menjalankan perniagaan.

"Mereka akan hilang semangat daripada berkembang kerana semakin besar perniagaannya, semakin banyak yang kita ambil daripada mereka," tambahnya.

Katanya lagi, budaya rasuah berleluasa kerana kerajaan tidak mempunyai sistem yang memberi maklum balas berkala berhubung perbelanjaan negara.

Rafidah juga berkata, setiap agensi dan jabatan kerajaan perlu membelanjakan peruntukan masing-masing dengan sebaik mungkin.

"Jangan kita bazirkan wang rakyat. Perlunya buat analisis kos-faedah untuk melaksanakan subsidi bersasar 2025 bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak menerimanya.

"Pelaksanaan subsidi yang disasarkan mesti disasarkan kepada orang yang betul," jelasnya.

Sebelum ini, penyelarasan subsidi dibentangkan di Parlimen dalam Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. — Majoriti/TARRENCE TAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram