Mat Redho syukur anak lelaki hilang di TTDI ditemukan selamat, rupanya berjalan kaki ke pejabat ibu


  • Tular
  • Isnin, 21 Okt 2024

Mat Redho (kiri) menceritakan bagaimana anaknya yang berusia tujuh tahun hilang, namun sudah ditemui semula.

ANAK kepada atlet sukan tempuh halangan negara, Mohd Redha Rozlan sudah ditemui dalam keadaan selamat selepas diuar-uarkan hilang sekitar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur (KL) pada Isnin.

Kes yang sebelum ini tular di media sosial peribadinya itu memaklumkan kanak-kanak berusia tujuh tahun bernama Haq Medin dilaporkan hilang selepas kali terakhir dikesan sekitar perhentian bas Sekolah Kebangsaan TTDI, Kuala Lumpur.

Namun, dalam hantaran baharu di Instastory isterinya, kanak-kanak lelaki terbabit sudah ditemui dengan mereka berterima kasih kepada kesemua pihak yang membantu.

BACA LAGI: Polis Ipoh tahan guru penolong kanan, disyaki beberapa kali cabul murid darjah 6

BACA LAGI: [VIDEO] Ajal pergi ke tandas ketika Subuh, lelaki maut dibaham harimau di Gerik

"Alhamdulillah, syukur ya ALLAH. Anak lelaki kami sudah ditemui dalam keadaan selamat dan tidak diapa-apakan. Terima kasih kepada anda semua yang sudah membantu berkongsi berita ini.

"Saya doakan semoga kalian semua sentiasa dilindungi, dipermudahkan segala urusan, amin ya ALLAH," tulis isteri kepada Redha menerusi akaun Instagram nady.arjuna.

Berdasarkan perkongsian dibuat di Facebook Mat Redho pada pukul 2.45 petang Isnin, kanak-kanak itu memakai baju kuning dan berseluar biru sambil mengenakan kasut berwarna hitam.

Perkongsian isterinya sudah tentu membawa kelegaan buat orang ramai memandangkan kebelakangan ini, terdapat pelbagai kes kehilangan orang, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

WhatsApp Image 2024-10-21 at 4.10.36 PM

Hantaran mengatakan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu sudah ditemui dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun, mereka enggan berkongsi kisah lanjut mengenai insiden berkenaan, termasuk tempoh kehilangan anaknya selain pihak yang berjaya menemui murid berkenaan.

Mohd Redha atau mesra disapa Mat Redho sememangnya dikenali dalam dunia sukan lasak apabila pernah mewakili negara dalam acara lari berhalangan dalam temasya Sukan SEA tahun lalu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan berhubung Orang Hilang (OH).

“Sejurus menerima laporan, sepasukan polis bertindak serta merta mencari dan menjumpai semula kanak-kanak itu di perkarangan tempat kerja ibunya. Anak pengadu mengambil tindakan sendiri berjalan kaki ke pejabat ibunya dan ditemui selamat,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram