Selangor fatwa GISB sesat, MAIS rangka pelan tindakan pemulihan pengikut


  • Primer
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Berdasarkan fatwa yang diwartakan itu, mana-mana orang Islam di Selangor dilarang dan dibatalkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya.

KERAJAAN Negeri Selangor telah mewartakan dan menyiarkan bahawa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya telah difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Berdasarkan fatwa yang diwartakan itu, mana-mana orang Islam di Selangor dilarang dan dibatalkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya.

Larangan berkenaan termasuk apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan lain yang mempunyai persamaan dengan amalan GISBH yang telah diharamkan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] KPWKM siasat video tular pegawai JKM jumpa famili kanak-kanak GISB

BACA LAGI: Siasatan terhadap GISB berdasarkan fakta, Ketua Polis Negara bidas kenyataan Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, selaras dengan pewartaan fatwa tersebut, masyarakat di negeri itu dinasihatkan supaya menghormati dan tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan fatwa yang diwartakan.

“Mana-mana individu yang bertindak mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Berhubung pemulihan akidah terhadap mereka yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan, Abdul Aziz berkata, MAIS bersama agensi kerajaan negeri termasuk agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Beliau berkata, proses pemulihan akan dilaksanakan meliputi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses istitabah (bertaubat) dan kaunseling.

dalam dalam

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Abdul Aziz berkata, MAIS juga menyatakan sokongan yang padu terhadap program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya baru-baru ini.

Program berkenaan, katanya, selaras dengan fatwa yang diwartakan dan dalam hal itu, pengikut atau ahli GISBH serta rangkaiannya dialu-alukan untuk hadir secara sukarela bagi tujuan pemulihan tersebut.

Beliau turut menyatakan komitmen MAIS dan agensi Islam di Selangor untuk bekerjasama dan memberi bantuan dari aspek tenaga kerja, kewangan, fasiliti dan kemahiran sebagai sokongan terhadap program pemulihan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Dalam kenyataan menerusi Facebook, Selangor Royal Office memaklumkan hal ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Februari 1993. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram