
PENDUDUK di sekitar Wangsa Maju dan Setia Wangsa, Kuala Lumpur menggesa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memberhentikan sementara projek pembinaan tembok dinding di cerun Bukit Dinding ketika musim hujan.
Menurut penduduk di kawasan tersebut, projek berkenaan tidak sepatutnya dilaksanakan semasa musim hujan kerana ia boleh menjejaskan kestabilan cerun dan mengakibatkan tanah runtuh.
Melalui satu gambar yang dikongsikan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Friends of Bukit Dinding (FoBD) menunjukkan jarak projek tersebut juga berdekatan dengan kawasan Puncak Setiawangsa.
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal pergi ke tandas ketika Subuh, lelaki maut dibaham harimau di Gerik
BACA LAGI: [VIDEO] Tiga kali selaman, 5 mangsa tragedi bot karam masih gagal ditemukan di Sungai Sarawak
Naib Presiden FoBD, Inci Anggie Narina Syafruddin berkata, penduduk menyedari operasi pembinaan projek itu telah berjalan tahun lalu dan meminta untuk mengadakan pertemuan dengan DBKL.
“Kami bimbang kerana tiada papan tanda atau sesi penglibatan dalam kalangan penduduk sebelum projek tersebut dimulakan.
"Semasa pertemuan yang diadakan pada April lalu, kami diberitahu bahawa projek berskala kecil tidak melibatkan kawasan yang besar dan kurang daripada 20.2 hektar, oleh itu tiada notis diperlukan," katanya kepada StarMetro.
Tambah beliau lagi, penduduk juga telah dimaklumkan projek tersebut untuk membina tembok penahan, namun tiada tarikh siap diberikan.
Kejadian tanah runtuh di Taman Melawati pada Selasa lalu mengakibatkan laluan utama ke perumahan terbabit terputus selain sebuah kenderaan mengalami kerosakan.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, Inci Anggie berkata, FoBD telah mengadakan perbincangan dalaman bersama peguam mereka mengenai perkara tersebut.
Katanya, projek tersebut juga masih memerlukan penilaian impak alam sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Kami telah menghantar pertanyaan kepada JAS, yang mengesahkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang permohonan EIA untuk projek tersebut.
“Kami kemudian menghantar surat lain kepada DBKL, meminta penjelasan lanjut tetapi masih belum mendapat maklum balas,” katanya.
Menurut beliau lagi, kerja-kerja pembinaan di tapak tersebut juga masih diteruskan hingga kini.
Sebelum ini, media melaporkan, hujan lebat pada pagi 15 Oktober menyebabkan banjir dan kejadian tanah runtuh di Taman Melawati.
Kejadian itu juga telah mengakibatkan tanah runtuh dan beberapa pokok tumbang dari cerun Bukit Dinding sekali gus menjejaskan beberapa rumah teres di Seksyen 5 dan 6, Wangsa Maju.
Sementara itu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad melawat rumah-rumah yang terjejas sambil melihat kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan di tapak tersebut dalam video yang dimuat naik di akaun TikTok peribadinya pada hari yang sama.
Beliau berkata, projek-projek di Bukit Dinding akan disemak semula.
DBKL masih belum memberi maklum balas kepada permintaan StarMetro untuk komen setakat ini. — The Star/ FARID WAHAB
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram