[VIDEO] Niat murni leraikan pergaduhan jiran punca lelaki maut kena tetak depan anak, suspek masih bebas di Keningau


  • 112
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Mangsa yang maut selepas ditetak sehingga menyebabkan pendarahan teruk dalam kejadian di Keningau, Sabah pada Khamis. — Facebook

SEORANG lelaki maut akibat ditetak selepas cuba membantu jirannya, pasangan suami isteri yang bertengkar dalam kejadian di Lingkudau, Taman Juta, Keningau, Sabah pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superitendan Alizam Dalaman berkata, mangsa berusia 58 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pendarahan teruk pada tangan kira-kira pukul 9.40 malam.

Alizam berkata, kejadian itu dikatakan berpunca daripada perasaan cemburu suspek kerana mangsa bertindak membantu isterinya semasa pasangan tersebut bertengkar.

BACA LAGI: Perlis negeri pertama keluar fatwa, GISBH sebar ajaran sesat

BACA LAGI: Tiada alasan luar biasa, mahkamah tolak jaminan pegawai polis didakwa bunuh pelajar

Hasil daripada siasatan awal, suspek iaitu lelaki warga Filipina berusia 40 tahun bertengkar mulut dengan isterinya sehingga menyebabkan isterinya melarikan diri ke rumah mangsa.

"Difahamkan, mangsa telah membantu isteri suspek untuk membuat laporan polis di Balai Polis Keningau.

"Semasa berada di balai, anak mangsa menghubunginya dan memaklumkan suspek mengamuk di depan rumah mereka.

"Mangsa kemudiannya bersama anaknya berusia tujuh tahun pulang semula ke rumah, manakala isteri suspek turut pulang ke rumah dengan menaiki kenderaan polis peronda. Isteri suspek kemudian meredakan kemarahan suaminya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menjelaskan bahawa siasatan juga mendapati mangsa bertemu dengan suspek dalam perjalanan pulang sebelum berlaku pergaduhan sehingga suspek bertindak menetak tangan mangsa.

Menurutnya, kejadian ngeri itu juga sempat disaksikan oleh anak mangsa.

"Suspek bagaimanapun melarikan diri selepas kejadian tersebut dan operasi mengesan suspek masih dijalankan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram