SOKONGAN keluarga tidak dapat dinafikan lagi memainkan peranan penting dalam hidup anak.
Meskipun kurang cemerlang dalam pelajaran atau memiliki kerjaya mewah sekali pun, keluarga terutamanya ibu bapa tetaplah perlu menyemai kasih sayang dengan adil.
Mengambil contoh daripada kisah seorang bapa di Indonesia yang menyentuh hati orang ramai.
BACA LAGI: [VIDEO] ‘No risk no fun’, hobi ekstrem Hanif 'menurun' ke anak, takluk gunung Surabaya
Menerusi video tular di media sosial sejak 28 September lalu, tindakan Tentera Nasional Indonesia (TNI) melawat anak perempuannya ketika sedang bekerja di sebuah stesen minyak.
Dalam video itu, bapanya yang lengkap berpakaian seragam tentera dilihat memasuki pasar raya mini di stesen minyak terbabit secara senyap tanpa pengetahuan anaknya.
Tindakannya itu adalah bertujuan memberi kejutan sambil melawat keadaan puterinya yang sedang bertungkus-lumus mencari rezeki.
Dalam kekhusyukan gadis bernama Jeje itu menyusun barang, satu sosok tubuh menghampirinya dan bertanya kepada seorang lagi pekerja stesen tersebut.
Jeje (kiri) dan bapanya (kanan) yang saling berpelukan tanda melepaskan rindu masing-masing.
"Jeje mana ya?," tanya lelaki tersebut.
Sejurus soalan itu dilemparkan, Jeje muncul dengan riak wajah gembira sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan ayahnya.
Mereka berdua kelihatan mesra dan sempat bergurau senda di kaunter pembayaran.
Aksi dua beranak itu secara tidak langsung menunjukkan jalinan kasih sayang yang kuat antara mereka walau dalam apa jua keadaan sekali pun.
Ia juga jelas memaparkan tanggungjawab dan keprihatinan seorang bapa meskipun terpaksa mencuri masa dalam kesibukan bekerja.
Sokongan dan dorongan ibu bapa mampu memberi semangat kepada anak-anak. — Gambar hiasan/Agensi
Selain dapat memberi semangat, tindakan itu turut membuatkan mereka rasa dihargai dan tidak diabaikan oleh keluarga sendiri.
Sikap ibu bapa seperti itu semamangnya memberi impak yang besar lebih-lebih lagi terhadap kesihatan mental dan emosi anak.
Hal ini kerana, ibu bapa yang membebankan anak dengan impian 'melampau' antara penyebab ramai dalam kalangan generasi muda berdepan masalah kesihatan mental.
Ia berlaku apabila terdapat sesetengah ibu bapa bertindak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap anak mereka untuk 'sempurna' dalam pelajaran atau pekerjaan sehingga memaksa mereka 'bergelut' untuk memenuhi harapan itu.
Menurut, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Inklusif) Hal Ehwal Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nurwina Anuar, memenuhi harapan ibu bapa selain keliru dengan tujuan hidup antara masalah yang kerap dihadapi golongan muda sehingga ada dalam kalangan mereka terpaksa mendapatkan bantuan psikologi untuk berdepan dengan tekanan.
Katanya, perkara itu kebiasaannya terjadi apabila mereka dibandingkan dengan orang lain dan perlu mencapai kejayaan setanding atau lebih tinggi daripada mereka.
Justeru, penerimaan ibu bapa amat penting bagi menyuntik semangat positif sepanjang hayat anak.
Dengan cara itu, ia sekali gus mampu menjadi contoh baik kepada masyarakat seluruh dunia termasuk di Malaysia untuk memupuk kasih sayang sesama ahli keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram