[VIDEO] Dakwa 3 bulan tak rasa untung, peniaga dedah bekas staf pengaruh pekerja curi duit setiap hari


  • Massa
  • Selasa, 15 Okt 2024

Tangkap layar video memaparkan peniaga yang meluahkan kemarahannya terhadap seorang pekerja yang didakwa mencuri wang selama tiga bulan.

SEORANG peniaga meluahkan kekecewaannya terhadap pekerjanya yang didakwa mengkhianatinya kerana mencuri wang sepanjang bekerja.

Menerusi video tular di Twitter sejak Selasa, lelaki tersebut mendakwa sudah tiga bulan tidak dapat merasa hasil dan untung daripada perniagaan yang dijalankannya.

Dakwanya, tindakan tersebut dilakukan oleh seorang daripada pekerja yang sangat dipercayainya.

BACA LAGI: Ibarat hotel mewah, penghuni rumah orang tua kongsi sebab, duduk asing dengan anak lebih mudah dan tenang

BACA LAGI: [VIDEO] Peniaga di Terengganu minta maaf, tak bakar jagung dah takut beri kesan kepada pelanggan

Dia juga mendedahkan bahawa perbuatan tersebut ternyata dipengaruhi oleh bekas pekerjanya selepas mendapat bukti perbualan mesej mereka.

"Orang yang saya percaya, saya jaga selama ini tikam belakang saya. Ini diarahkan oleh seorang pekerja lama saya. Disebabkan dia suruh orang sekarang curi duit setiap hari dan berlarutan selama tiga bulan.

"Mak ayah aku dah tak kerja, duit tu aku guna untuk tanggung mak ayah aku. Aku nak kau cari aku, minta maaf dan ganti balik duit aku tu semua.

"Aku sampai tergerak hati nak marah mak aku setiap kali dia nak duit daripada aku. Tiga bulan, aku tak rasa untung berniaga," luahnya.

Peniaga tersebut bagaimanapun tidak mahu memperbesarkan lagi masalah itu dan mengambil keputusan untuk tidak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Dakwanya, individu terbabit juga tanpa rasa bersalah menggunakan wang curi itu untuk berbelanja mewah di Kuala Lumpur.

"Aku bagi masa kau 24 jam je. 24 jam je untuk kau pulangkan balik duit aku. Datang jumpa aku, minta maaf dengan aku, minta maaf dengan keluarga aku.

"Sebab duit yang kau ambil tu adalah duit hak keluarga aku," tegasnya.

Dia pada masa sama mengharapkan agar orang ramai dapat membantunya mencari pelaku untuk menyelesaikan masalah berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram