JOHOR Tigris bermula garang dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Penang apabila meraih kemenangan mudah straight set (15-4,15-6) pada Khamis.
Dalam perlawanan yang berlangsung di SPICE Arena, Bayan Baru, Penang itu menyaksikan pasukan Selatan tanah air tersebut berjaya menumpaskan cabaran Bomba Fighters dalam peringkat Kumpulan C sekali gus menghidupkan peluang untuk ke suku akhir.
Menariknya aksi tersebut, skuad kendalian Jamaluddin Hassan itu berjaya mengubati kekecewaan penyokong kerana sebelum ini pasukan itu tidak berada dalam prestasi terbaik.
BACA LAGI: Format GP STL: Pengurusan kelab kena bijak — Mohsen
Dalam GP Selangor dan GP Terengganu sebelum ini, Johor Tigris gagal mara ke suku akhir apabila terkandas di peringkat kumpulan.
Begitu pun, Johor Tigris berjaya menempah tiket ke suku akhir buat julung kalinya namun tewas kepada Selangor Pistons (15-13,16-17,7-15) dalam GP Perak baru-baru ini.
Menariknya aksi bertemu Bomba Fighters, Johor Tigris membuat perubahan drastik dengan membawa masuk tekong berpengalaman, Hairul Hazizi Haidzir, apit kiri negara, Farhan Adam dan apit kanan import, Teerapat Deecharoen.
Manakala, Bomba Fighters yang menang pada aksi pembukaan menentang ATM Guardians pada Rabu mempertaruhkan Irsyad Faiz Aziz (tekong), Anda Madlee (apit kanan) dan Muhammad Zaim Zamri (apit kiri).
Dengan kemenangan besar itu, ramai penyokong berasakan kehadiran bekas tekong negara, Hairul Hazizi berjaya mengubah rentak permainan Johor Tigris.
"Tekong power dan padu, terima kasih Hairul Hazizi sebab bantu Johor Tigris," kata Azim Anom.
"King servis bola drop is back, macam ini baru semangat nak tengok perlawanan Johor Tigris," kata Apyz Ziyech.
"Ini baru Johor Tigris, nak kena marah semua baru pandai cari tekong, killer yang bagus, teruskan momentum kemenangan," kata Yus SyaZiq.
Selepas ini, Johor Tigris bakal bertemu ATM Guardians dalam perlawanan kedua Kumpulan C pada pukul 8 malam, Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram